Rabu, 29 Januari 2020 | 8:34am
SEPASUKAN anggota KPDNHEP memeriksa syarikat pemborong ayam standard yang menjual ayam melebihi had harga yang ditetapkan dalam satu operasi. - Foto ihsan KPDNHEP
SEPASUKAN anggota KPDNHEP memeriksa syarikat pemborong ayam standard yang menjual ayam melebihi had harga yang ditetapkan dalam satu operasi. - Foto ihsan KPDNHEP

Pemborong ayam dikompaun RM5,000

KUANTAN: Sebuah syarikat pemborong ayam di sini, dikompaun RM5,000 kerana kesalahan menjual harga borong ayam standard melebihi harga kawalan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Ahmad Fitri Ali, berkata tindakan itu dilakukan selepas sepasukan anggota penguat kuasa Pahang membuat siasatan berdasarkan aduan peruncit sekitar Kuantan.

Katanya, peniaga runcit menerima bekalan ayam melebihi harga yang dikawal.

“Berdasarkan bukti invois daripada peniaga runcit serta bil yang ditemui di premis itu mendapati pemborong terbabit melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Berikutan itu, pemborong terbabit dikenakan kompaun RM5,000 atas kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kes terbabit, Ahmad Fitri berkata, pegawai dan anggota penguat kuasa kementerian itu turut melakukan pemeriksaan susulan ke atas beberapa pemborong di sekitar Kuantan.

Bagaimanapun, katanya, tiada kes kenaikan harga dikesan dan mendapati kesemua pemborong mematuhi perundangan yang ditetapkan.

“Oleh itu, KPDNHEP memberi amaran kepada pemborong dan peruncit supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan melalui Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2020 yang mula berkuat kuasa selama 14 hari dari 20 Januari hingga 2 Februari ini,” katanya.

Berita Harian X