Isnin, 3 Februari 2020 | 9:59am
Keria Seman menggunting rambut pelanggan di kedai guntingnya. - Foto BERNAMA

Pak Ya tukang gunting rambut Raja Perlis

KANGAR: Ketika mula-mula belajar menggunting rambut kira-kira 48 tahun lalu, Keria Seman tidak pernah terfikir akan menjadi tukang gunting rambut kepada Tuanku Raja Perlis.

Pada awalnya, Keria, 70 mengikuti kelas gunting rambut anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis pada tahun 1972 hanya sekadar suka-suka sebelum menyertai pasukan Askar Wataniah di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada tahun yang sama.

Namun sesuatu yang tidak pernah diimpikannya itu menjadi kenyataan pada tahun 2014 apabila menerima titah daripada Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk menggunting rambut baginda.

“Pada mulanya rasa kekok dan takut untuk saya melaksanakan tugas itu, tetapi atas titah tuanku, saya tabah hati bagi memenuhi titah baginda,” katanya kepada BERNAMA di kedai gunting miliknya di Lorong Wan Abdullah dekat sini baru-baru ini.

Menceritakan pengalamannya, Keria yang mesra dengan panggilan Pak Ya, berkata pada satu petang beliau didatangi seorang petugas Istana Tuanku Raja menyampaikan titah tuanku bagi menggunting rambut baginda.

Keria adalah antara beberapa tukang gunting lama di Perlis tetapi masih mampu berdiri berjam-jam setiap hari untuk menggunting rambut pelanggan masing-masing.

Sejak tarikh itu, tiap sebulan sekali beliau tetap ke istana tuanku untuk menggunting rambut baginda dan tugas itu dilakukannya hingga sekarang.

“Sekarang saya tidak kekuk lagi untuk mengadap dan menggunting rambut tuanku kerana baginda seorang raja yang peramah dan berjiwa rakyat,” katanya.

Di samping sebulan sekali menjalankan tugas di istana, beliau juga tetap ke kedainya setiap hari kecuali hari Ahad untuk menunggu pelanggan setia mulai jam 9 pagi hingga 7 malam dan rehat di antara jam 1 tengah hari hingga 3 petang.

“Setiap pelanggan dewasa dikenakan bayaran RM10 untuk gunting rambut dan cuci muka, manakala RM8 jika gunting rambut sahaja,” katanya.

Katanya, bagi murid pula bayaran dikenakan di antara RM4 hingga RM5 seorang, manakala pelajar antara RM6 hingga RM7 seorang mengikut saiz badan mereka.

“Saya bersyukur kerana ditakdirkan hidup sebagai seorang tukang gunting kerana dapat mengenali ramai orang tanpa mengira bangsa, agama mahupun pangkat,” katanya.

Keria berkata, beliau tidak bosan melakukan tugas harian kerana dapat berkongsi pelbagai maklumat dengan pelanggan.

“Biasanya pelanggan ajak borak pelbagai isu antaranya politik, ekonomi dan semasa, dari situ Pak Ya dapat berkongsi maklumat dan kenal ramai orang tanpa mengira bangsa sama ada Melayu, Cina, India mahupun Siam,” katanya,

Keria berkata, beliau akan terus menggunting rambut selagi sihat walaupun disahkan menghidap penyakit kencing manis baru-baru ini.

“Kerja menggunting rambut telah sebati dalam diri Pak Ya dan saya akan teruskan selagi sihat,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X