Isnin, 3 Februari 2020 | 11:22am
Padi bukanlah tanaman yang memerlukan limpahan air - fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
Padi bukanlah tanaman yang memerlukan limpahan air - fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

KADA bakal perkenal kaedah titisan basah sawah

KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan memperkenal kaedah baru menggunakan ‘Micro Drips Padi Irrigation’ bagi menjaga kelembapan tanah sawah.

Pengerusi KADA, Datuk Husam Musa, berkata melalui kaedah baru itu, padi tidak memerlukan air yang banyak sehingga membanjiri petak sawah dan kaedah itu sama seperti yang diamalkan dalam tanaman hidroponik.

“Menurut Universiti Pertanian Hydrabad, India, penjimatan air berlaku sebanyak 50 peratus, pengurangan belanja baja dan racun berkurangan dan hasil meningkat 100 peratus.

“Jadi kita mungkin akan membuat percubaan di mana-mana sawah untuk kegunaan pada masa akan datang bagi menghadapi fenomena pemanasan global,” katanya.

Sehubungan itu, Husam berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada sebuah universiti di India yang sebelum ini pernah membuat kajian ‘Micro Drips Padi Irrigation’ iaitu menggunakan saluran paip secara titisan untuk penanaman padi.

Mengenai kemarau, Husam berkata, masa kritikal dijangka antara Mac hingga April, iaitu semasa padi matang kerana mengikut ramalan cuaca, hujan tidak akan turun sehingga akhir Mei yang turut dikaitkan dengan pemanasan global.

Pada 2018, seramai 2,999 pesawah yang rugi disebabkan kawasan sawah kering kontang akibat kemarau.

Bagaimanapun, KADA menjangkakan kerosakan tanaman akibat kemarau tahun ini lebih ringan berikutan petani sudah mula mengikuti nasihat pegawai pertanian untuk mengawalkan jadual tanaman.

“KADA mengenal pasti antara faktor yang menyumbang kepada padi rosak ialah petani menanam tidak mengikut jadual ditetapkan seperti berlaku kelewatan pada masa hujan dah hampir habis, padi baru disemai.

“Jadi sekarang kita awalkan dan insya-Allah dalam tempoh empat musim akan datang kita akan cuba mengikuti jadual alam semula jadi, iaitu pada musim air banyak, padi sudah disemai.

“Sebenarnya, padi ini bukanlah tanaman yang memerlukan limpahan air. Padi sebenarnya tanaman boleh tahan, boleh hidup tanpa air dan boleh hidup di dalam air. Jadi, air yang yang diperlukan tidaklah sebanyak air macam sekarang,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X