Khamis, 6 Februari 2020 | 6:52pm
PENGERUSI Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi (kiri) mengadakan lawatan kerja pembenihan anak udang di ladang penternakan Desaru Hatchery Asia Aquaculture, Kota Tinggi. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Johor sasar Bio-Desaru menjadi pelopor pembangunan pertanian

KOTA TINGGI: Kerajaan negeri menyasarkan projek pembangunan Bio-Desaru: Lembah Makanan Organik Johor menjadi pelopor pembangunan pertanian

Selain itu, kerajaan negeri juga komited menjadi pengeluar makanan utama negeri seiring dengan Gagasan Revolusi Hijau menerusi Belanjawan Negeri 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata pembabitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan dijangka menepati sasaran, sekali gus memberi keuntungan semula kepada kerajaan.

Katanya, selaku anak syarikat kumpulan Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech), Bio Desaru Sdn Bhd bertanggungjawab membangunkan projek berkenaan dengan sasaran utama dalam sektor pembangunan hab makanan di daerah Kota Tinggi.

“Bio-Desaru: Lembah Makanan Organik Johor yang dibangunkan sejak tahun 2010 adalah komitmen kerajaan negeri menangani isu keselamatan makanan menerusi penghasilan makanan selamat dan berkualiti, selain pelengkap kepada ekosistem rantaian makanan negara.

“Sehingga kini, pembangunan projek berkeluasan 3,642.17 hektar sudah menempatkan lebih 30 pelabur dengan anggaran nilai pelaburan mencecah RM1.8 bilion menjelang suku tahun pertama 2020.

“Projek ini dijangka dapat meningkatkan ekonomi negeri di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi penduduk setempat,” katanya ketika ditemui pada lawatan kerja di ladang penternakan Desaru Hatchery Asia Aquaculture di sini, hari ini.

Pada lawatan itu, beliau turut mengambil kira mengenai pembangunan prasarana iaitu jalan yang menghubungkan setiap projek terbabit dalam usaha memberi keselesaan kepada pelancong yang mengunjungi dan pengusaha yang menguruskan kawasan berkenaan.

“Bio Desaru sudah diminta mengemukakan satu kertas cadangan mengenai pembangunan keseluruhan projek berkenaan termasuk cadangan projek baharu, bagi tempoh enam bulan.

“Cadangan itu akan dinilai semula daripada segi prestasi pengurusan dan melihat sejauh mana kemampuannya untuk melaksanakan projek yang memberi manfaat terhadap pengeluaran makanan dalam negeri dan destinasi pelancongan kelak,” katanya.

Berita Harian X