Jumaat, 7 Februari 2020 | 3:08pm
Pengumuman rasmi mengenai waktu solat Subuh di Pulau Pinang ditambah lapan minit mulai esok
Pengumuman rasmi mengenai waktu solat Subuh di Pulau Pinang ditambah lapan minit mulai esok

Waktu Subuh di Pulau Pinang ditambah lapan minit mulai esok

GEORGETOWN: Waktu solat Subuh di Pulau Pinang ditambah lapan minit, berbanding takwim solat sedia ada berkuat kuasa esok.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, dalam satu pengumuman rasmi memaklumkan, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada Rabu dan semalam memperakukan bahawa penetapan permulaan waktu Subuh adalah menggunakan nilai altitud matahari 18 darjah di bawah ufuk, seperti yang dipersetujui Majlis Raja-Raja.

Bagaimanapun katanya, perubahan itu hanya membabitkan waktu solat Subuh sahaja, manakala waktu solat lain adalah kekal sebagaimana yang tercatat pada jadual waktu solat Pulau Pinang terbitan Jabatan Mufti Pulau Pinang.

“Mesyuarat turut memutuskan bahawa pelaksanaan solat Subuh berdasarkan waktu terdahulu adalah sah dan tidak perlu diqada setakat sebelum tarikh ketetapan baru ini dikuat kuasa.

“Jadual waktu Subuh terkini boleh dirujuk dan dimuat naik di laman rasmi Jabatan Mufti Pulau Pinang atau portal e-Solat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mulai hari ini,” katanya.

Berita Harian X