Isnin, 10 Februari 2020 | 4:39pm
MADA akan melaksanakan kaedah penanaman padi tabur kering di Kedah berikutan air di empangan semakin susut akibat kemarau. - Foto SHAHRIZAL MD NOOR

MADA laksana penanaman padi tabur kering

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan melaksanakan kaedah penanaman padi tabur kering bagi musim padi 1/2020, berikutan air di empangan semakin susut akibat kemarau.

Pengerusinya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Lembaga Pengarah MADA hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, kadar takungan air di Empangan Muda hari ini hanya mencatatkan paras 5.88 peratus, Empangan Pedu 37.18 peratus dan Empangan Ahning 56.86 peratus dengan jumlah keselurahan takungan sebanyak 37.57 peratus atau 459,459 ekar kaki takungan.

“MADA memerlukan sekurang-kurangnya 550,000 ekar kaki takungan seperti yang diamalkan sebelum ini.

“Takungan yang rendah tidak cukup untuk dibekalkan bagi memulakan penanaman padi bagi musim 1/2020 mengikut kaedah penanaman biasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, penetapan jadual bekalan air dan penanaman padi musim 1/2020 akan dibincang di antara MADA dan pesawah pada mesyuarat jawatankuasa bekalan air dan penanaman padi pada 20 Februari ini.

“Mesyuarat akan mengambil kira semua faktor termasuk analisis data sejarah, ramalan turunan hujan, kesediaan bekalan benih padi sah dan baja subsidi kepada peladang.

“Pasukan Pengembangan MADA akan mula mengadakan Kempen Pengembangan Strategik bagi menerangkan kaedah pelaksanaan tabur terus kering kepada semua peladang, berikutan ini hanya memerlukan air yang minimum pada peringkat awal penanaman padi,” katanya.

Mukhriz berkata, apabila paras Empangan Pedu menurun sehingga 27 peratus, pelepasan air untuk tujuan penanaman padi akan dihentikan dan disalurkan bagi tujuan domestik sahaja.

Berita Harian X