Selasa, 11 Februari 2020 | 7:57pm
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick (tiga dari kiri) bergambar bersama pemimpin lain sambil memegang pelan pembangunan MESEJ Angalor Kemabong - Foto Ihsan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah

Kampung Angalor Kemabong tapak tanaman durian Musang King

TENOM: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan membangunkan tanah seluas 146 hektar untuk tanaman durian Musang King melalui projek Mini Estate Sejahtera (MESEJ) di Kampung Angalor Kemabong, di sini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata tapak MESEJ Angalor Kemabong telah dikenal pasti dan dipersetujui untuk tanaman pertanian bukan komoditi seperti durian dan nanas.

“Kita telah membuat tinjauan tapak MESEJ yang kita kenal pasti dan persetujui untuk adakan MESEJ pertanian bukan komoditi untuk peserta yang akan dikenal pasti kelak.

“Ini adalah pembangunan MESEJ baharu yang pertama sejak saya menerajui KPLB Sabah dan yang pertama tidak membabitkan tanaman komoditi kerana selama ini MESEJ sedia ada ditanam dengan kelapa sawit dan getah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan tapak di Kampung Angalor Kemabong, semalam.

Turut serta dalam lawatan terbabit adalah Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Fredian Gan; Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar.

Ewon yang juga Adun Kadamaian berharap, kerja pembersihan kawasan MESEJ itu dapat dimulakan April ini supaya penanaman durian boleh dimulakan tahun ini juga.

“Untuk fasa pertama, kita bercadang membangunkan kawasan ini kurang daripada 40 hektar dengan mengambil kira keadaan tanah yang berbukit dan curam. Kita akan melaksanakannya secara berperingkat.

“Apabila proses pembersihan kawasan MESEJ Angalor Kemabong sudah selesai, kita akan menjemput Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk melancarkan penanaman bukan komoditi di sini,” katanya.

Dari segi pemilihan peserta, Ewon mengatakan beliau sudah mengarahkan pembentukan jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Tenom dan dianggotai pihak berkepentingan untuk menyelaras pembangunan di MESEJ Angalor Kemabong.

Katanya, tugas jawatankuasa itu antara lain mengenal pasti keluasan tanah yang boleh ditanam dan memuktamadkan pemilihan peserta.

“Pada dasarnya, kita telah bersetuju untuk memberi keutamaan kepada penduduk Kampung Batu dan Kampung Angalor yang pernah mengusahakan tanah di kawasan ini dan tersenarai dalam e-kasih sebagai peserta MESEJ,” katanya.

Sebanyak 52 MESEJ di negeri ini mengusahakan tanaman kelapa sawit dan getah.

Berita Harian X