Rabu, 12 Februari 2020 | 11:55am

'Jangan ganggu burung bangau cari makan di sawah padi Kampung Sungai Rengas'

KUALA TERENGGANU: Penduduk Kampung Sungai Rengas, di sini dan sekitarnya meminta tiada pihak mengganggu atau memburu ribuan burung hijrah spesies bangau yang datang ke sawah padi di situ.

Penduduk kampung itu, Mohd Nor Yusof, 53, berkata burung bangau bersaiz ayam jantan berwarna hitam putih itu berterbangan dan berkumpul di kawasan sawah padi seawal jam 7 pagi.

“Pada Februari tahun lalu, kumpulan burung liar ini datang di kawasan sawah padi Kampung Kubang Tangga tetapi tahun ini beralih ke tanah sawah kampung ini. Saya datang ke sini awal pagi semata-mata untuk melihat kumpulan burung hijrah.

“Berasa tenang melihat ribuan burung bangau itu berterbangan di kawasan sawah sambil mencari makanan. Justeru, diharap tiada pihak yang memburu atau mengganggu burung itu.

“Kehadiran burung itu tidak mendatangkan sebarang masalah malah ia menjadi tarikan baru di kampung. Sebelum ini burung bangau yang sering berhijrah dari satu tempat ke tempat lain tidak pernah datang ke kawasan kampung dan spesies burung bangau itu hanya boleh dilihat dari jarak dekat di zoo sahaja.

“Burung ini hanya datang untuk makan siput dan ikan kecil di kawasan sawah yang sudah dibajak dan apabila petani mula menjalankan kerja semaian benih padi ia akan berhijrah ke tempat lain,” katanya yang berkerja sebagai tukang paip ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, suri rumah, Azizah Mohd, 49, berkata, dia datang ke kawasan sawah itu untuk melihat burung bangau selepas diberitahu penduduk kampung.

“Saya kali pertama melihat burung bangau dalam kumpulan yang besar seperti ini. Pemandangan burung bangau yang berkumpul dalam jumlah yang banyak seperti itu jarang berlaku. Burung ini jinak kerana selama ini haiwan itu tidak diancam pemburu kerana ia spesies burung yang tidak dimakan di kampung ini. Biasanya burung itu mencari makanan di kawasan itu sehingga jam 12 tengahari sebelum ke tempat lain dan datang semula pada lewat petang,” katanya.

Beliau juga berkata, ramai orang luar yang mengetahui mengenai kehadiran burung itu sanggup datang ke kampung itu untuk melihat burung bangau malah petani yang mengusahakan sawah padi di situ sehingga kini tidak menyuarakan kebimbangan mengenai kehadiran burung itu.

“Kehadiran burung bangau di situ hanya sementara dan dalam tempoh terdekat burung itu akan berhijrah ke tempat atau negeri lain pula,” katanya.

Burung hijrah spesies bangau di sawah padi Kampung Sungai Rengas, Kuala Terengganu menjadi tarikan orang ramai. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
Burung hijrah spesies bangau di sawah padi Kampung Sungai Rengas, Kuala Terengganu menjadi tarikan orang ramai. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
Berita Harian X