Rabu, 12 Februari 2020 | 5:15pm
ANJING dari Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernama Lao Wu. - Foto BERNAMA
ANJING dari Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernama Lao Wu. - Foto BERNAMA

Lao Wu - anjing pertama terima anugerah Polis Pahang

KUANTAN: Seekor anjing baka German Shepherd dari Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencipta sejarah sebagai anjing pertama menerima pingat ‘Jasamu Dikenang’ bagi Kontinjen Polis Pahang.

Anjing bernama Lao Wu, menerima pingat berkenaan daripada Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan, yang disampaikan oleh Timbalannya, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, ketika Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Pahang, di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, Mohd Yusri Hassan menyampaikan pingat berkenaan kepada pengendali Lao Wu, Sarjan S Sanmugam, yang kemudian mengalungkan pingat itu pada leher anjing tersebut.

Sanmugam berkata, Lao Wu, yang berusia lima tahun lapan bulan, menerima penghargaan itu atas kejayaannya mengesan seorang suspek curi kenderaan yang melarikan diri sejauh lebih empat kilometer di ladang kelapa sawit di Felda Sungai Tekam, Jerantut, pada 14 November tahun lalu.

Sebelum itu, polis menembak suspek di bahagian kaki ketika cuba melarikan diri semasa operasi Lejang di kawasan itu.

“Kami memulakan operasi mengesan suspek yang dipercayai telah cedera mulai jam 1.45 pagi dan hanya 50 meter dari lokasi permulaan, Lao Wu menemui baju-T berlumuran darah yang dipercayai ditinggalkan suspek selepas mengelap darah pada kakinya.

“Lao Wu begitu bersemangat mengesan suspek sehinggakan saya di belakangnya terjatuh dua kali akibat tersandung ekoran persekitaran yang gelap dan tanah tidak rata sebelum kami sampai di sebuah rumah dalam ladang.

“Pemilik rumah mengatakan ada seorang lelaki datang meminta bantuan kerana ditembak, namun telah melarikan diri apabila dia mahu menghubungi polis,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di unit K9 IPK Pahang, di sini, hari ini.

Sanmugam berkata, Lao Wu kemudiannya membawa mereka kembali ke ladang kelapa sawit sehingga berjumpa sungai sekitar jam 4 pagi dan tindakan Lao Wu mahu meredah sungai itu menyebabkan mereka percaya suspek telah berada di seberang sungai.

Telahan haiwan itu nyata tepat kerana operasi yang bersambung pada jam 6 pagi di seberang sungai, menemukan tompokan darah berhampiran sungai itu, selain anjing berkenaan juga beberapa kali keluar dari ladang untuk ke jalan berhampiran sebelum kembali semula ke ladang.

“Lao Wu terus memandu arah kami ke sebuah rumah di situ dan akhirnya suspek berjaya ditemui di belakang rumah sekitar jam 10.45 pagi dalam keadaan lemah dan merayu supaya saya tidak melepaskan anjing sebaik sahaja melihat kelibat Lao Wu.

“Suspek mengakui ada beberapa kali ke jalan raya kerana menunggu rakannya datang menjemput namun terpaksa masuk semula ke ladang kerana rakannya belum tiba,” imbas Sanmugam.

Katanya, beliau mengendalikan Lao Wu, yang diperoleh dari China, sejak 2015 dan merupakan anjing pengesan keempatnya dalam tempoh 29 tahun berkhidmat dengan unit K9. – BERNAMA

Berita Harian X