Khamis, 13 Februari 2020 | 3:25pm
Notis penutupan Taman Eko Rimba, Gunung Pulai 1. - Foto ihsan pembaca
Notis penutupan Taman Eko Rimba, Gunung Pulai 1. - Foto ihsan pembaca

Gunung Pulai ditutup akibat kencing tikus

KULAI: Pusat Rekreasi Taman Eco Rimba Gunung Pulai 1, di sini ditutup kepada pengunjung dua minggu bermula semalam (12 Februari) hingga 26 Februari ini, ekoran beberapa kejadian kes leptospirosis atau kencing tikus dikaitkan dengan penggunaan premis di kawasan itu.

Pegawai Daerah Kulai, Mohd Radzi Mohd Amin berkata, pihaknya mendapat makluman penutupan itu dari Pejabat Kesihatan Daerah Kulai dan notis perintah tutup itu adalah tindakan mengikut Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Perintah tutup ini juga bertujuan bagi menjalankan kerja pembersihan supaya kawasan tersebut selamat bagi pengunjung yang akan menggunakan premis tersebut pada masa akan datang.

“Penutupan selama dua minggu untuk kerja-kerja kebersihan dilaksanakan oleh operator di situ,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Radzi juga berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengunjungi pusat rekreasi sepanjang tempoh berkenaan selain membolehkan pihak berkuasa melaksanakan tugas pembersihan dengan lancar.

“Pada masa akan datang, orang ramai juga dinasihatkan untuk membilas badan dengan air paip setiap kali mereka mandi di dalam air terjun di kawasan tersebut,” katanya.

Tular di media sosial gambar Notis Penutupan Gunung Pulai Satu dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor, yang tutup bermula sejak semalam hingga 26 Februari ini akibat terdapat kencing tikus.

Pusat Rekreasi Gunung Pulai, sebelum ini pernah ditutup antara Mei dan Jun 2017 juga akibat kencing tikus.

Dalam kejadian pada Mei 2017, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun meninggal dunia selepas tiga hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) dipercayai akibat leptospirosis atau kencing tikus.

Mangsa, Rosnizam Roslan berasal dari Pekan Nanas, Pontian itu dikatakan ada mandi di Air Terjun Gunung Pulai pada April 2017. Pada awalnya, mangsa mengalami sakit perut, selsema, demam selama tiga hari dan lemah anggota badan.

Berita Harian X