Jumaat, 14 Februari 2020 | 5:10pm
Adly (empat dari kiri) menyampaikan kunci Rumah Peduli di Kampung Sungai Petai, di Alor Gajah, hari ini. - NSTP/Hassan Omar

Harga rumah di Melaka antara terendah

ALOR GAJAH: Purata harga rumah di negeri ini RM154,000 diiktiraf penggiat industri perumahan sebagai antara yang terendah di negara ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata pihak terbabit memberi pengiktirafan itu berdasarkan harga semasa pelbagai jenis rumah di negeri ini.

“Kita berharap harga ini dapat dikekalkan untuk tempoh lebih lama sebagai satu daripada usaha kerajaan negeri menyediakan perumahan mampu milik untuk rakyat,” katanya selepas menyampaikan kunci Rumah Peduli kepada pasangan suami isteri, Jefri Saidi, 45, dan Norhairani Jaafar, 39, di Kampung Sungai Petai, di sini, hari ini.

Rumah dua bilik dengan ukuran 165 meter persegi itu dibina kerajaan negeri dengan kos bangunan RM30,000 tidak termasuk kerja tanah dan parit di atas tanah milik Norhairani bagi menyediakan penginapan berkualiti untuk rakyat golongan B40.

Ia dimulakan pada September lalu dan siap dua bulan kemudian. Yang turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Selain Rumah Peduli, kerajaan negeri membina Rumah Berkat, khusus bagi pasangan baru berkahwin menyewanya dengan sewa bulanan cuma RM150 dan Rumah Harapan bernilai antara RM85,000 hingga RM100,000 untuk golongan berpendapatan sederhana.

Adly berkata, sebanyak 84 unit Rumah Peduli disasarkan disiapkan menjelang hujung tahun ini dan setakat ini, 25 unit sudah siap sepenuhnya.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan RM3 juta manakala Kerajaan Pusat memperuntukkan jumlah yang sama sebagai kos pembinaan Rumah Peduli setahun dan jumlah berkenaan bakal ditingkatkan bagi menambah jumlah unit rumah yang bakal dibina pada masa depan.

“Sebanyak 57 unit sedang dibina berasaskan 92 permohonan yang diterima tahun lalu, termasuk Rumah Peduli jenis tiga bilik yang kos bangunannya mencecah RM37,500,” katanya.

Adly berkata, kos sebenar seunit Rumah Peduli adalah antara RM50,000 hingga RM60,000 jika diambil kira kos meratakan tanah dan membina longkang.

Bagaimanapun, katanya, ia diserap kerajaan negeri bagi membantu menyediakan penginapan selesa untuk golongan berpendapatan rendah yang memiliki tanah tetapi kekurangan dana.

Berita Harian X