Jumaat, 14 Februari 2020 | 7:02pm
Laporan mengenai kisah Nuratiqah yang disiarkan BH Online, semalam.

Nasib malang Nuratiqah raih simpati

KUALA LUMPUR: Kisah penderitaan Nuratiqah Mohamad Shafri, 25, yang hilang ingatan dan terlantar di rumahnya di Taman Derga Jaya di Alor Setar, Kedah sejak lapan tahun lalu akibat kemalangan jalan raya, mendapat perhatian pelbagai pihak.

Pengerusi Sahabat Charity Balkis, Rukiza Abu Bakar dari Pokok Sena, Kedah, berkata pihaknya terdorong membantu Nuratiqah yang tidak mampu mampu menguruskan diri selain memerlukan susu khas sebagai makanan tambahan dengan pendapatan keluarga yang tidak mencukupi.

“Kami faham situasi keluarganya kerana memang kami pernah berkunjung dan menghulurkan bantuan, namun ketika itu ia hanya bantuan sekali sahaja. Melihat keadaan Nuratiqah kini yang memerlukan bantuan sepenuhnya daripada ibu, Muna Jamaludin, 42, kami akan memastikan kebajikannya terbela selepas ini.

“Apa yang kami boleh bantu, sekurang-kurangnya membiayai pembelian susu dan lampin pakai buang supaya nasib Nuratiqah ini terbela,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Kemajuan Komuniti Kota Setar, A Sundra Lingam, berkata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar memintanya terus memastikan Nuratiqah menerima bantuan sewajarnya.

“Ahli Parlimen Pokok Sena sebelum ini menyumbang mesin penyedut kahak untuk Nuratiqah. Saya sudah menghubungi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyemak semula kelayakan Nuratiqah dan JKM bersedia pertimbangkan bantuan orang kurang upaya (OKU) sebanyak RM250 kepadanya.

“Ahad ini, saya akan bawa bapa tiri Nuratiqah untuk berjumpa pegawai JKM Kota Setar bagi tujuan itu,” katanya ketika dihubungi.

Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dalam satu kenyataan bagi mengulas kenyataan ibu Nuratiqah bahawa bantuan RM600 sebulan daripada LZNK dihentikan pada Oktober lalu, memaklumkan pihaknya bersedia membuat semakan semula kelayakan penerima bantuan.

“Penentuan sama ada seseorang itu termasuk dalam kategori asnaf fakir atau miskin adalah berasaskan kiraan had kifayah sesebuah isi keluarga. LZNK sentiasa terbuka pada bila-bila masa untuk membuat siasatan semula hasil laporan orang ramai.

“Jika pemohon tergolong semula dalam kategori asnaf yang layak, LZNK sentiasa bersedia untuk menyalurkan bantuan sewajarnya. LZNK perlu memastikan agihan yang dibuat adalah tepat berasaskan data dan siasatan supaya bantuan dapat disalurkan kepada lebih ramai pemohon yang benar-benar layak dan dikategorikan asnaf,” katanya.

Semalam, BH Online melaporkan kisah Nuratiqah yang terpaksa menanggung derita selepas terbabit kemalangan pada 2006 ketika berusia 14 tahun.

Daripada seorang yang aktif di sekolah, kehidupan Nuratiqah berubah dan memerlukan perhatian seperti seorang bayi daripada ibunya selepas mengalami kecederaan di kepala.

“Selepas kemalangan, doktor sahkan Nuratiqah ada masalah saraf menyebabkan matanya juling selain turut hilang ingatan. Dia kemudian dirujuk kepada pakar psikiatri kerana ada orang mengatanya gila, tetapi sebagai ibu saya tetap sabar.

“Keadaan kesihatan anak saya semakin merosot sehinggalah dia tidak lagi mampu berjalan sejak lapan tahun lalu dan terpaksa dimandikan seperti bayi,” kata Muna sambil menambah, setiap bulan dia perlu membelanjakan RM700 untuk membeli susu dan RM200 untuk membeli lampin pakai buang.

Mereka yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Muna di talian 018-2763513.

Berita Harian X