Jumaat, 14 Februari 2020 | 10:30pm
PBAPP memberi amaran paras air Empangan Muda, Kedah kini berada pada tahap kritikal. - Ihsan PBAPP
PBAPP memberi amaran paras air Empangan Muda, Kedah kini berada pada tahap kritikal. - Ihsan PBAPP

Empangan Muda tidak lagi mampu sokong paras air Sungai Muda

GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memberi amaran paras air Empangan Muda, Kedah kini berada pada tahap kritikal dan tidak lagi mampu menyokong paras air Sungai Muda ketika musim kemarau.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa, berkata ini kerana kapasiti 160 bilion liter air Empangan Muda dilaporkan hanya berada pada tahap 7.44 peratus semalam.

Beliau berkata paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang dilaporkan pada 1.77 meter semalam. Paras normal sungai melebihi dua meter.

“Oleh itu, paras air Sungai Muda amat bergantung kepada hanya satu empangan lain di Kedah iaitu Empangan Beris yang berkapasiti 120 bilion liter. Bagi mengekalkan paras air Sungai Muda, Empangan Beris melepaskan sejumlah 864 juta liter air sehari,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jaseni menggesa pihak berkuasa dan agensi berkaitan mengutamakan proses pembenihan awan di kawasan tadahan Empangan Beris dan Empangan Muda serta lembangan Sungai Muda.

Beliau berkata penting untuk memastikan simpanan air mentah Empangan Beris mampu bertahan sehingga musim hujan atau kawasan Kedah Selatan dan Pulau Pinang akan berdepan dengan krisis air.

“Penting bagi Kedah dan kerajaan Persekutuan membentuk satu pelan kontigensi bagi menyokong atau melindungi perkhidmatan bekalan air di selatan Kedah dan Pulau Pinang, sekiranya musim kemarau berpanjangan.

“Oleh itu, kami memberi amaran agar Kedah dan kerajaan Persekutuan segera mengambil tindakan bagi memastikan tidak berlaku catuan air di selatan Kedah dan Pulau Pinang pada 2020,” katanya. – BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X