Isnin, 17 Februari 2020 | 10:49am
Ketua Pengarah, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Datuk Dr Abd Latif Mohmod (dua dari kanan) dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin (dua dari kiri) bertukar perjanjian pada majlis MoU di Stesen Penyelidikan FRIM Jengka. Foto NSTP/Mohd Rafi MAMAT
Ketua Pengarah, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Datuk Dr Abd Latif Mohmod (dua dari kanan) dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin (dua dari kiri) bertukar perjanjian pada majlis MoU di Stesen Penyelidikan FRIM Jengka. Foto NSTP/Mohd Rafi MAMAT

Kerjasama penyelidikan hutan Pahang

JERANTUT: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengadakan memorandum persesafahaman (MoU) dalam bidang penyelidikan dan pendidikan dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang mewakili kerajaan Pahang di Stesen Penyelidikan FRIM Jengka, di sini semalam.

Kerjasama julung kali diadakan itu dilakukan bagi mengadakan pelbagai aktiviti terutama membabitkan penyelidikan hutan tropika yang di negeri ini.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod, berkata pengalaman dan kepakaran dua agensi digabungkan demi kepentingan hutan yang mempunyai pelbagai spesies pokok.

Katanya, Stesen Penyelidikan FRIM Jengka menjadi pusat penyelidikan utama yang dapat menguatkan lagi kajian berkaitan pengurusan dan silvikultur hutan yang terletak di kawasan pamah serta berbukit.

“Penubuhan pusat penyelidikan hutan tropika Pahang berupaya menjadi pusat rujukan dalam bidang pengurusan hutan secaralestari selain itu turut dijadikan pusat rujukan setempat.

“Pemindahan teknologi berasaskan eko pendidikan kepada pelanggan dan pihak yang berminat juga dapat dilakukan,” katanya yang berharap kerjasama berkenaan memberi hasil terbaik.

Pada majlis itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang diwakili Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin.

Abd Latif menambah, hasil kerjasama terbabit diharap memberi pendapatan baru kepada dua pihak menerusi aktiviti pemindahan teknologi perhutanan.

Sementara itu, Mohd Hizamri berkata, hutan di negeri ini masih lagi luas yang memerlukan kumpulan pakar untuk melakukan penyelidikan dalam bidang perhutanan dan hidupan lain.

“Perkongsian kepakaran kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dengan FRIM mampu memberi hasil terbaik dan menguntungkan kedua belah pihak

“Saya berharap MoU yang diadakan memberi lebih banyak kebaikan dalam jangka masa panjang seterusnya menjadi contoh kepada negeri lain yang memiliki kawasan hutan luas,” katanya.

Katanya, program pendidikan untuk golongan pelajar turut akan diadakan supaya mereka mengenali lebih dekat kepentingan hutan kepada manusia dan haiwan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X