Isnin, 17 Februari 2020 | 6:00pm
KEADAAN rumah yang terjejas teruk akibat hujan lebat dan ribut di beberapa buah kampung di Chuah, Port Dickson. NSTP/Mohd Khidir Zakaria
KEADAAN rumah yang terjejas teruk akibat hujan lebat dan ribut di beberapa buah kampung di Chuah, Port Dickson. NSTP/Mohd Khidir Zakaria

Enam rumah dipukul ribut

PORT DICKSON: Enam rumah mengalami kerosakan teruk selepas hujan dan ribut yang melanda beberapa kampung di Chuah, di sini, petang kelmarin mendapat perhatian banyak pihak.

Kejadian berlaku sekitar jam 5.15 petang, apabila hujan lebat berserta ribut kuat yang menyebabkan beberapa buah rumah terjejas.

Antara kampung yang terbabit dalam bencana itu, Kampung Sawah, Kampung Pachitan dan Kampung Bukit Pelandok.

Mangsa, Siti Aisah Kapi, 78, berkata ketika kejadian dia berada di dalam rumah terdengar dentuman petir dan angin yang kuat berserta hujan lebat.

“Saya terkejut apabila tiba-tiba bumbung rumah tercabut dan terbang. Nasib baik tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Ini kejadian pertama bumbung rumah saya terbang akibat ribut. Terima kasih juga kepada wakil rakyat yang segera datang dan menghulurkan bantuan segera,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Michael Yek Diew Ching, berkata pihaknya meminta bantuan kerajaan negeri bagi membaiki semua rumah yang terjejas akibat ribut.

“Kerajaan negeri sudah meluluskan bantuan untuk membaiki beberapa rumah yang rosak teruk.

“Jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak RM30,000. Kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah orang ramai dan juga mangsa dalam kejadian ribut untuk membaiki rumah yang teruk terjejas,”

katanya ketika dihubungi tadi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X