X
Selasa, 18 Februari 2020 | 3:15pm
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Zamri Yusuf, (kiri) meninjau situasi semasa ampang jajar di Kampung Rantau Panjang, Kota Kuala Muda ketika mengadakan lawatan di Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM), di sini, hari ini. Foto NSTP/Nor Farhani Che Ad
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Zamri Yusuf, (kiri) meninjau situasi semasa ampang jajar di Kampung Rantau Panjang, Kota Kuala Muda ketika mengadakan lawatan di Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM), di sini, hari ini. Foto NSTP/Nor Farhani Che Ad

Kapasiti air di Sungai Muda mencukupi

SUNGAI PETANI: Kapasiti air di Sungai Muda yang menjadi sumber bekalan air bagi selatan Kedah dan Pulau Pinang berada pada tahap terkawal dan mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga, Datuk Zamri Yusuf, berkata ia berikutan Empangan Beris yang berfungsi mengawal air bagi sungai berkenaan diyakini mampu menampung keperluan air sehingga akhir April depan.

“Ketika ini, Empangan Beris berada pada paras berjaga-jaga iaitu 63 peratus yang diyakini mampu menampung keperluan air Sungai Muda sehingga April depan.

“Faktor hujan yang diterima sejak kebelakangan ini di beberapa kawasan serta pembenihan awan yang dilakukan juga mendorong paras air di Sungai Muda berada pada tahap yang baik,” katanya pada sidang media ketika mengadakan lawatan ke Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendakwa Empangan Muda, Kedah kini berada pada tahap kritikal dan tidak lagi mampu menyokong paras air Sungai Muda ketika musim kemarau.

Mengulas lanjut Zamri berkata, ketika ini, Jabatan Pengaliran Saliran (JPS) terpaksa menghentikan pelepasan air dari Empangan Beris ke Sungai Muda berikutan paras air di ampang jajar di Kampung Rantau Panjang, Kota Kuala Muda melebihi bacaan biasa sekali gus sudah mencukupi untuk penggunaan semasa.

Katanya, sejak 1 Januari sehingga 13 Februari lalu, sekitar 10,000 liter persaat air dari Empangan Beris dilepaskan bagi menampung Sungai Muda untuk keperluan 700 juta liter air sehari (MLD) untuk loji air Kedah dan 1,100 MLD untuk Pulau Pinang.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan berterusan bagi mengawal keadaan bagi memastikan sumber air mencukupi.

“Mengikut ramalan Jabatan Meteorologi, hujan akan bermula pada Mac nanti, namun kita mengambil sikap berwaspada hingga April supaya keadaan lebih terkawal.

“Mungkin akan ada pelepasan air sikit lagi di Empangan Beris namun ia akan dilakukan pada kadar pelepasan yang lebih rendah,” katanya.

Beliau turut meminta semua pihak terutama Pulau Pinang supaya tidak panik dengan situasi sumber air ketika ini dan menasihatkan supaya kedua-dua negeri perlu menggunakan air dengan lebih berhemah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X