Khamis, 20 Februari 2020 | 11:20am
PELAJAR Tahun Akhir Fakulti Kolej Kejuruteraan UMP, Amirah Salihah El-Arisah berjaya menghasilkan penapis air minuman menggunakan habuk kayu jenis resak. - Foto Mohd Rafi Mamat
PELAJAR Tahun Akhir Fakulti Kolej Kejuruteraan UMP, Amirah Salihah El-Arisah berjaya menghasilkan penapis air minuman menggunakan habuk kayu jenis resak. - Foto Mohd Rafi Mamat

Pelajar universiti hasilkan inovasi penapis air minuman

KUANTAN: Pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghasilkan inovasi penapis air minuman yang pertama di negara ini menggunakan habuk kayu jenis resak (vatica abdulrahmaniana).

Pelajar Tahun Akhir Fakulti Kolej Kejuruteraan UMP, Amirah Salihah El-Arisah, 23, berkata beliau mengambil masa setahun membuat penyelidikan bersama dua lagi pelajar jurusan sama, Mahadi Bahri dan Chi Qi Teong serta dibantu pensyarahnya, Herma Dina Setiabudi sebelum menghasilkannya.

Katanya, penapis air berbentuk pelet yang melalui dua proses menghasilkannya itu mampu menapis hingga 96 peratus plumbum yang terdapat dalam air minuman.

“Kos menghasilkan pelapis air itu jauh lebih murah berbanding produk sama yang banyak terdapat di pasaran (dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi).

“Untuk menggunakan pelapis air itu bekas atau tabung khas digunakan yang disambungkan dengan sistem paip di rumah,” katanya, di sini semalam.

Produk penapis air menggunakan habuk kayu resak itu berjaya meraih anugerah terbaik kategori pelajar pada Pertandingan Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2020 di UMP Gambang, di sini minggu lalu.

Amirah Salihah berkata, kebanyakan penapis air pelbagai jenama ada di pasaran kini hanya mampu menapis hingga 93 peratus plumbum sahaja, ia dianggap masih tidak baik untuk kesihatan.

Katanya, kelebihan lain terdapat pada produk berkenaan ialah boleh digunakan antara dua minggu hingga sebulan di rumah bergantung kepada kualiti semasa air paip.

Dalam sektor perkilangan ia boleh digunakan sebanyak lima kali tapisan sisa buangan dan kajian akan dilakukan bagi membolehkan lebih banyak kali digunakan.

“Saya berharap penapis air minuman itu berada di pasaran tempat suatu hari nanti dan dijual pada harga mampu milik.

“Kerjasama dengan syarikat berminat menghasilkan produk itu secara dikomersialkan amat dialu-alukan,” katanya berasal dari Terengganu.

Berita Harian X