Khamis, 20 Februari 2020 | 6:37pm
Mohd Sufian memberi kambing ternakannya makan rumput ketika ditemui di kandang kambingnya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa. - Foto Hazira Ahmad Zaidi
Mohd Sufian memberi kambing ternakannya makan rumput ketika ditemui di kandang kambingnya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa. - Foto Hazira Ahmad Zaidi

Juruteknik gembala kambing jana pendapatan sampingan

KOTA BHARU: Menyedari potensi dalam bidang penternakan mampu memberi pulangan lumayan, juruteknik sebuah hospital memilih untuk mengembala kambing sebagai sumber pendapatan sampingan sejak dua tahun lalu.

Mohd Sufian Aziz, 34, mempelajari dan mewarisi ilmu penternakan daripada ayahnya, Aziz Malek, 50, yang menternak lembu selain turut mendapat pandangan serta nasihat daripada Kelab Penternak Anak Kelantan.

Bapa kepada dua anak berusia dua hingga lapan tahun berkata, dia mengusahakan ternakan itu menggunakan wang simpanan sendiri dengan modal permulaan sebanyak RM5,000 untuk membina kandang kambing selain membeli tiga ekor kambing dan kini membiak sehingga 20 ekor.

“Kambing yang saya ternak adalah baka tempatan dan Boer. Sehingga kini saya sudah menjual 10 kambing dengan purata pendapatan yang diperoleh RM8,000 dan seekor kambing dijual antara RM600 hingga RM800 seekor bergantung kepada saiz dan berat untuk majlis akikah dan kenduri bagi memenuhi permintaan penduduk setempat.

“Lima kambing betina yang diternak kini sudah bunting dan dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi, jumlah ternakan saya akan bertambah,” katanya ketika ditemui di kandang kambingnya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, di sini.

Mohd Sufian yang juga lulusan Sijil Penghawa Dingin dari Institut Kemahiran Mara (IKM) Sik, Kedah berkata, fokus utamanya ialah ternak dan jual.

“Wang hasil jualan dikumpul untuk menambah jumlah ternakan dan pada masa akan datang, saya juga merancang membeli lebih banyak baka kambing bagi memenuhi permintaan kerana kambing sebenarnya sentiasa mendapat permintaan tinggi.

“Pada setiap hari, sekitar jam 5.30 petang hingga 7 malam, sudah menjadi rutin harian saya selepas pulang dari kerja untuk ke kandang bagi memberi kambing yang diternak makan rumput dan dedak,” katanya.

Anak sulung daripada tujuh beradik ini berkata, sejak menceburi bidang ternakan, tidak sukar baginya untuk mengenal pasti kambing sihat atau berpenyakit.

“Kambing akan aktif dan agak agresif jika sihat tapi sebaliknya, muka kambing akan kelihatan pucat, tidak bermaya, kerap ‘termenung’, ‘menyendiri’ dan ia boleh dikenali menerusi simptom mata berair dan bertahi, cirit serta najis berlendir.

“Jika itu berlaku, saya akan memeriksa serta melakukan rawatan awal dan memaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk mengenal pasti punca penyakit.

“Setiap tiga atau enam bulan sekali saya akan memberi suntikan vitamin yang dibeli di JPV kepada kesemua ternakan dan saya sendiri yang melakukannya,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X