Sabtu, 22 Februari 2020 | 5:01pm
Graduan terbaik, Aleaa Nur Insyirah Alias bersama ibu bapanya pada Majlis Konvokesyen MSU ke 26 di Management and Science University (MSU). Shah Alam. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Graduan terbaik, Aleaa Nur Insyirah Alias bersama ibu bapanya pada Majlis Konvokesyen MSU ke 26 di Management and Science University (MSU). Shah Alam. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Pengurusan masa bantu kejayaan

SHAH ALAM: Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen Management and Science University (MSU) ke-26, berazam untuk menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada usia 25 tahun.

Graduan Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) dalam Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Aleaa Nur Insyirah Alias, 22 optimis beliau mampu mencapai sasarannya itu.

“Saya menetap di Brunei sebelum melanjutkan pelajaran di sini dan oleh kerana sistem pendidikan di sana berbeza, saya dapat melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma di MSU pada usia 15 tahun.

“Walaupun melanjutkan diploma pada usia remaja yang mana pelajar lain kebanyakan lebih berusia, saya tidak rasa kekok malah selesa dengan persekitaran MSU dan pada usia 21 tahun, saya berjaya menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda.

“Kini, saya di peringkat sarjana dan menyasarkan untuk menamatkannya pada tahun hadapan seterusnya sambung ke peringkat PhD pula,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen MSU ke - 26, hari ini.

Aleaa Nur Insyirah menamatkan sarjana muda dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK), 3.93 malah beliau sebelum ini meraih Anugerah Presiden pada setiap semester dengan memperolehi PNGK 3.75 ke atas.

Katanya, tiada resipi khusus dalam kejayaan itu malah menurutnya, setiap orang mempunyai cara belajar yang berbeza mengikut keselesaan masing-masing.

“Untuk saya, yang paling penting adalah jangan pernah berhenti berdoa kerana dari situ, setiap perkara yang kita lakukan akan dipermudahkan.

“Saya juga mengamalkan pengurusan masa dengan menyenaraikan perkara yang akan dilakukan setiap hari selain menetapkan masa untuk makan, solat, ulangkaji dan lain-lain,” katanya.

Selain itu, Aleaa Nur Insyirah berkata, pada masa hadapan beliau bercadang untuk menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) bersama kawan baiknya untuk menyumbang kepada komuniti dengan menyediakan pendidikan percuma kepada golongan yang memerlukan.

Anugerah Pingat Emas Canselor adalah anugerah tertinggi diberikan kepada graduan diikuti Anugerah Presiden; Mohd Shukri Yajid Oustanding Award; Anugerah Akademik dan Anugerah Industri.

Pada majlis konvokesyen yang berlangsung dua hari bermula hari ini, seramai 1,769 graduan MSU menerima ijazah Doktor Falsafah (PHD), Ijazah Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma masing-masing.

Berita Harian X