Rabu, 26 Februari 2020 | 9:23am

Bermodalkan sumbangan orang ramai, pesakit kanser jual kacang sara diri

RANTAU PANJANG: Seorang pemuda yang diserang kanser tulang buat kali kedua, mengambil inisiatif menjual kacang menggunakan modal hasil sumbangan orang ramai.

Abdul Afza Aziz Abdul Wahab, 19, diserang kanser sama di tulang selangka sebelah kanan, selepas kaki kirinya dipotong pada September 2017 akibat sakit yang sama.

Kisahnya pernah dilaporkan di akhbar NSTP sehingga mendapat perhatian masyarakat dan tampil menyumbangkan sumbangan kepada Abdul Afza.

“Saya menggunakan RM1,200 daripada wang sumbangan untuk membeli kacang secara ‘bundle’ berharga RM400, kemudian dijual mengikut timbangan.

“Dengan permulaan hanya tiga jenis kacang, kini saya sudah menjual pelbagai jenis kekacang seperti kacang gajus, badam, Pistachio serta asam dengan harga RM7 sehingga RM70 bergantung kepada jenis kacang serta beratnya.

“Memandangkan ketumbuhan di tulang selangka ini semakin membesar dan masih memerlukan rawatan radioterapi setiap bulan, saya memutuskan menjual kacang di Facebook,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Sekolah Cina, di sini.

Anak sulong daripada empat adik beradik itu berkata, ibunya, Siti Halimah Mohammad, 39, yang juga ibu tunggal turut membantu dengan menjual kekacang di pekan Rantau Panjang bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

“Alhamdulillah, walaupun hasilnya tidak seberapa namun cukup untuk menampung hidup kami. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang ramai yang membantu sebelum ini dan insya-Allah bantuan semua saya gunakan dengan sebaiknya.

“Saya tidak mahu sakit ini menjadi penghalang untuk saya terus kuat dan berjuang selain tidak mahu selalu dibantu sebaliknya bangkit untuk saya pula memberi manfaat dan membantu orang lain.

“Melihat kepada kanser kali kedua yang menyerang ini, saya sendiri reda dan menyerahkan kepada takdir kerana hidup dan mati saya semua adalah ketentuan-Nya. Berbekal semangat serta sokongan ibu dan orang ramai saya terus berjuang selagi mampu,” katanya.

Abdul Afza mengakui dia terus kuat melawan sakit hasil sokongan keluarga serta orang sekeliling terutama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Third force yang sentiasa bertanya khabar dan membantunya.

Pesakit kanser, Abdul Afza Aziz Abdul Wahab menunjukkan proses membungkus kacang. - NSTP/Syaherah Mustafa
Pesakit kanser, Abdul Afza Aziz Abdul Wahab menunjukkan proses membungkus kacang. - NSTP/Syaherah Mustafa

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X