X
Jumaat, 28 Februari 2020 | 7:01pm
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sabah.
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sabah.

Terima kasih beri elaun khas

KOTA KINABALU: Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas pemberian elaun khas kepada petugas perubatan dalam usaha memerangi jangkitan COVID-19.

Presidennya, Ajulahin Japin berkata, kerajaan mengiktiraf usaha gigih dan keadaan berisiko tinggi yang dihadapi oleh kakitangan perubatan pada masa ini.

“Ia tidak sangat mengenai insentif kewangan tetapi dedikasi dalam menjalankan kewajipan kami yang diiktiraf kerajaan memberikan kami kepuasan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ajulahin yang juga Setiausaha Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sabah, berkata Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah, sekutu Cuepacs mewakili 8,000 ahli di negeri ini menghargai pengiktirafan terhadap petugas awam yang terbabit dalam usaha membendung jangkitan itu.

Beliau berkata, walaupun terdapat banyak ketidakpastian berhubung kesan COVID-19, petugas penjagaan kesihatan bersama petugas barisan hadapan lain menanganinya dengan baik dan menunaikan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi.

Semalam, Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kakitangan kerajaan yang terbabit secara langsung dalam usaha membendung COVID-19 layak menerima elaun khas.

Kerajaan akan memberi elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor, kakitangan perubatan dan RM200 kepada Imigresen serta kakitangan lain yang terbabit, sebagai tanda penghargaan memerangi jangkitan itu.

Bantuan elaun khas itu berkuat kuasa Februari ini hingga wabak itu berakhir.

Kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion yang ditunjangi tiga strategi utama bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak COVID-19 ketika ini dapat ditangani dengan berkesan.– BERNAMA

Berita Harian X