Khamis, 5 March 2020 | 2:55pm
Dahchaiyani (tengah) menunjukkan slip keputusan 11 A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 kepada ibu bapanya, N Gunasegaran dan S Subashini selepas menerimanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar. - Foto Zulkepli Osman
Dahchaiyani (tengah) menunjukkan slip keputusan 11 A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 kepada ibu bapanya, N Gunasegaran dan S Subashini selepas menerimanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar. - Foto Zulkepli Osman

Anak jurukamera TV3 Pahang peroleh 11A

KUANTAN: Anak perempuan Jurukamera TV3 Pahang, Dahchaiyani Gunasegaran yang memperoleh keputusan 11A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut diumumkan pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar (SABS) di sini, hari ini.

Dahchaiyani mendapat 8A+ bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Fizik, Kimia, Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil manakala 2A bagi Pendidikan Moral dan Biologi manakala 1A- bagi Matematik Tambahan.

Beliau juga adalah antara 18 daripada 165 calon SPM mendapat semua A di sekolah kluster kecemerlangan itu.

Daripada 18 pelajar yang memperoleh A semua mata pelajaran, hanya dua pelajar yang mengambil 11 mata pelajaran dan Dahchaiyani satu-satunya memperoleh semua A.

Dahchaiyani yang sebelum itu belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Bandar Indera Mahkota berkata, penat lelah ketika mengulangkaji pelajaran terasa amat berbaloi dengan keputusan tersebut.

“Saya terharu dengan kejayaan ini...saya memang tak sangka. Terima kasih ibu bapa dan guru-guru saya yang banyak membantu.

“Saya mahu sambung belajar ke Kolej Matrikulasi dan seterusnya menyambung di bidang perubatan yang menjadi idaman sajak kecil,” katanya diiringi bapanya, N Gunasegaran dan ibu, S Subashini.

Sementara itu, Pengetua SABS, Mohammad Badrudin Yusoff berkata, 165 pelajar yang mengambil SPM berjaya mencapai lulus 100 peratus.

“Selain daripada 18 pelajar tersebut, 14 pelajar sekolah ini turut mendapat ‘near miss’ iaitu semua A dan 1B. Rata-rata semua pelajar adalah cemerlang.

“Saya percaya ini adalah hasil usaha gigih ibu bapa dalam Persatuan Ibu Bapa Guru dan pelajar sendiri yang banyak membantu kecemerlangan dalam program cakna pelajar dan Jom Makan Sewaktu peperiksaan.

“Program ni sangat membantu kerana ibu bapa dan guru bertindak menyediakan makanan pada hari dan minggu peperiksaan supaya pelajar tidak lagi perlu keluar sehingga mengganggu fokus peperiksaan,” katanya.

SABS menduduki tempat ketiga terbaik dalam kedudukan pencapaian SPM sekolah peringkat daerah ini selepas Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS) dan Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Kuantan (SBPI).

Berita Harian X