X
Jumaat, 13 March 2020 | 2:55pm

Gagal ke IPG, ditawar belajar percuma oleh UMK

BACHOK: Dua tahun lalu, Nur Izzati Mat Rodhi, 20 gagal ke Institut Pengajian Guru (IPG) dan hampir kecewa apabila impian untuk bergelar pendidik terkubur, namun hari ini dia ditawarkan melanjutkan pelajaran ke universiti secara percuma.

Itu kemanisan yang dinikmati Nur Izzati, pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam keputusan STPM Februari lalu.

Nur Izzati, yang juga anak kelima daripada enam beradik kepada pasangan Mat Rodhi Junoh, 58 dan Noor Laila Ishak, 53 menerima tawaran biasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Nur Izzati berkata, dia terharu apabila ditawarkan biasiswa melanjutkan pelajaran ke UMK dan menerima tajaan sepanjang empat tahun pengajian selain diberi wang saku bulanan.

Katanya, sebelum ini dia pernah bercita-cita menyambung pelajaran di IPG kerana mahu menjadi guru namun permohonannya ketika keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 20017 gagal kerana dia hanya mendapat 6A dan E dalam mata pelajaran Matematik Tambahan.

“Sejak itu, saya nekad sambung Tingkatan Enam dalam jurusan sastera dan saya betul-betul fokus pada setiap mata pelajaran yang diambil.

“Kegagalan ke IPG mengajar saya untuk lebih gigih berusaha kerana saya memang betul-betul berminat jadi guru sama ada dalam bidang sejarah ataupun perniagaan,” katanya ketika dikunjungi wakil UMK di rumahnya di Kampung Kubang Tuman, Tawang, di sini, hari ini.

Wakil UMK diketui Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof Dr Mohd Rafi Yaacob.

Nur Izzati mendapat keputusan cemerlang STPM dalam lima matapelajaran yang diambil iaitu Pengajian Am, Sejarah, Bahasa Melayu, Sastera dan Perniagaan ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus.

Nur Izzati berkata, dia hanya belajar dua jam sehari bermula jam 9 malam hingga 11 malam, namun memastikan apa yang dibaca benar-benar diingati selain banyak membuat latihan menjawab soalan.

“Untuk tawaran ke UMK pula, saya berterima kasih atas tawaran yang diberikan dan apa yang menarik UMK memang universiti yang terkenal dengan konsep perniagaan dan keusahawanan yang saya minati,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rafi berkata, Nur Izzati adalah salah seorang daripada lima pelajar cemerlang STPM yang ditawarkan biasiswa oleh UMK untuk menyambung pengajian peringkat sarjana muda bagi sesi pengambilan September 2020/21.

Katanya, UMK memperuntukkan dua jenis biasiswa iaitu biasiswa Naib Canselor sebanyak RM800 sebulan dan biasiswa UMK sebanyak RM500 sebulan selain pengecualian bayaran yuran sepanjang empat tahun pengajian.

“Mereka boleh memilih mana-mana kursus pengajian sarjana muda yang diminati, caranya masih menggunakan permohonan sistem Unit Pengambilan Universiti (UPU), cuma letakkan UMK sebagai pilihan utama atau pertama.

“Tawaran biasiswa ini adalah julung kali diperkenalkan universiti berkenaan dan kriteria penerima biasiswa haruslah mendapat PNGK 3.0 ke atas dan dari keluarga berpendapatan rendah (B40),” katanya.

Katanya, selain Nur Izzati, empat lagi pelajar cemerlang STPM ditawarkan biasiswa itu adalah Siti Aishah Mz Rozalan dari SMK Ayer Lanas, Jeli dan tiga pelajar SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas iaitu Mohd Hafiza Ismail, Fatin Nur’ Izzati Md Azmi dan Siti Nazira Sakiam.

 Nur Izzati (tengah) bersama bapa Mat Rodhi dan ibu, Noor Laila menunjukkan slip sijil STPM sempena Program Lawatan Ke Rumah Pelajar Lepasan STPM Yang Cemerlang Bagi Tahun 2019 di Negeri Kelantan. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Nur Izzati (tengah) bersama bapa Mat Rodhi dan ibu, Noor Laila menunjukkan slip sijil STPM sempena Program Lawatan Ke Rumah Pelajar Lepasan STPM Yang Cemerlang Bagi Tahun 2019 di Negeri Kelantan. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X