Sabtu, 14 March 2020 | 4:20pm
KETUA Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali. - Foto Amir Mamat
KETUA Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali. - Foto Amir Mamat

Dasar perumahan Melaka diteruskan

ALOR GAJAH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali hari ini memberi jaminan meneruskan dasar kerajaan negeri sebelum ini berhubung skim perumahan yang memberi manfaat kepada rakyat, terutama golongan B40.

Katanya, hal ini disebabkan dasar berkenaan memberi peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk memiliki rumah sendiri.

Bagaimanapun katanya, beliau perlu meneliti sumber kewangan bagi setiap skim perumahan yang diperkenalkan sebelum ini selain akan meneliti senarai pemohon bagi memastikan hanya mereka yang layak diberikan peluang.

“Perkara yang baik, kita tidak akan hentikan tetapi saya perlu teliti sumber kewangannya dari mana kerana sebelum ini Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri di bawah PH (Pakatan Harapan) tetapi sekarang sudah berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan projek perumahan Taman Masjid Tanah Perdana yang dimajukan Legaland Sdn Bhd di Durian Daun, Masjid Tanah dekat sini hari ini.

Projek berkenaan merangkumi 50 unit rumah berkembar setingkat, selain berkembar satu setengah tingkat (72 unit), banglo satu setengah tingkat (lima unit) dan rumah mampu milik setingkat (93 unit).

Kerajaan PH sebelum ini menyediakan dua jenis Rumah Peduli, masing-masing bernilai RM30,700 dan RM40,000 khusus bagi mereka yang mempunyai tanah tetapi tidak mempunyai dana untuk membina rumah.

Selain itu, kerajaan negeri turut membina Rumah Berkat, khusus untuk pasangan baru mendirikan rumah tangga yang diberikan peluang menyewanya dengan sewa bulanan cuma RM150.

Berita Harian X