Rabu, 18 March 2020 | 6:09pm
KUALA TERENGGANU 18 MAC 2020. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman (dua) ketika melakukan lawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah. -Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
KUALA TERENGGANU 18 MAC 2020. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman (dua) ketika melakukan lawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah. -Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

COVID-19: Kerajaan negeri sedia bantu jaga anak petugas COVID-19

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri bersedia membantu penjagaan anak petugas dan kakitangan hadapan yang bertungkus-lumus melindungi masyarakat daripada wabak COVID-19 yang melanda ketika ini dengan menggunakan khidmat sukarelawan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu bagi membantu bebanan yang terpaksa ditanggung golongan terbabit, termasuk petugas hospital iaitu doktor, jururawat dan wira COVID-19 yang terpaksa meninggalkan keluarga dan anak kecil.

“Kita sudah bersetuju membantu pihak frontliner (hadapan) ini dalam beberapa perkara ini seperti penjagaan anak dan sebagainya.

“Itu dalam proses, kita sedang selesaikan dan kita mempunyai ramai volunteer (sukarelawan) yang menawarkan untuk membantu mereka.

“Petugas hospital, doktor dan jururawat, mereka terpaksa datang ke hospital meninggalkan anak kecil dan sebagainya sedangkan taska dan pusat penjagaan ditutup.

“Tiada alternatif lain jadi untuk mengurangkan keserabutan kepala masing-masing, kita menawarkan sukarelawan dan tindakan ini akan dilakukan dengan kadar segera,” katanya selepas melakukan lawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut merayu orang ramai khususnya mereka yang menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling supaya melakukan ujian saringan COVID-19.

Portal NSTP sebelum ini melaporkan seramai 87 orang terdiri daripada penghuni madrasah di Kubung Bujuk dekat sini dikuarantin selepas disyaki dijangkiti COVID-19.

Mereka dikuarantin di wad Hospital Hulu Terengganu kerana mempunyai kontak rapat dengan seorang ahli tabligh menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling, Selangor yang singgah di madrasah berkenaan sebelum ini.

Berita Harian X