Sabtu, 21 March 2020 | 3:24pm
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Sidang Media Pengumuman Pakej Rangsangan Selangor Prihatin COVID-19 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Sidang Media Pengumuman Pakej Rangsangan Selangor Prihatin COVID-19 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Selangor benarkan pembekalan bahan mentah

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor membenarkan pembekalan dan perkhidmatan penyediaan makanan seperti restoran, gerai makanan serta kedai serbaneka beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi satu kenyataan memaklumkan kebenaran itu diberikan hanya untuk pembekalan bahan mentah, pembungkusan, penghantaran serta pandu lalu sahaja.

“Kita membenarkan restoran termasuk restoran dalam hotel untuk beroperasi bermula pada jam 6 pagi hingga 12 tengah malam manakala untuk penjaja kecil atau trak makanan, mereka tidak dibenarkan beroperasi sehingga tempoh perintah tamat.

“Selain itu, untuk perkhidmatan bahan api dan pelincir yang membabitkan stesen minyak serta pengeluaran, penapisan, penyimpanan, pembekal dan pengedaran turut dibenarkan beroperasi seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan peruncitan seperti pasaraya dibenarkan beroperasi untuk bahagian peruncitan dan makanan sahaja sehingga jam 12 tengah malam.

Katanya, kedai runcit (serbaneka) dibenarkan sehingga 12 tengah malam dan pasar awam (pasar borong) dibenarkan dari jam 5 pagi hingga 4 petang manakala pasar tani dan pasar malam tidak dibenarkan.

“Bagi sektor peruncitan, penghantaran dibenarkan selain kita mahu pembeli mengehadkan ahli keluarga yang ikut serta ketika membeli barangan keperluan.

“Sepanjang tempoh perintah juga, kerajaan negeri membenarkan perkhidmatan pembaikan (kedai alat ganti) bermula jam 9 pagi hingga 4 petang manakala servis menarik kenderaan (towing) dibenarkan.

“Perkhidmatan cucian seperti dobi layan diri, dobi serta pusat cucian kereta tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Amirudin berkata, kerajaan negeri sangat memandang serius akan kegagalan segelintir masyarakat yang masih mengabaikan arahan duduk di rumah selain dari keperluan kritikal yang sudah digariskan.

Katanya, kegagalan mematuhi arahan itu memungkinkan dampak penularan wabak COVID-19 berpotensi untuk berpanjangan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X