Sabtu, 21 March 2020 | 6:12pm
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik. - NSTP/Baharom Bakar
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik. - NSTP/Baharom Bakar

600 tentera bantu polis kawal PKP di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kerjasama antara polis dan tentera diharap dapat memberi lebih kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya wabak COVID-19.

Kesedaran ini seterusnya membuatkan mereka terus berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 31 Mac ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata dianggarkan seramai 600 anggota tentera akan terbabit membantu polis menjalankan tugas pengawalan pergerakan ini yang bertujuan mencegah penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

“Setakat ini, anggota dan pegawai polis yang bertugas siang dan malam seramai 800 orang dan dengan adanya bantuan daripada tentera seramai 600 orang, usaha membendung penularan wabak berkenaan dapat ditingkatkan,” katanya.

Katanya, memasuki hari keempat PKP, tahap pematuhan rakyat negeri ini berada di tahap 80-85 peratus.

“Menerusi kerjasama ini, saya berharap tahap pematuhan meningkat sehingga 95 peratus,” katanya.

Roslee berkata, orang ramai hendaklah mematuhi perintah berkenaan bagi memutuskan rantaian wabak berbahaya itu yang hanya boleh bertahan selama 14 hari.

“Sebab itu orang ramai diminta kuarantinkan diri sendiri dengan berada di dalam rumah masing-masing sehingga tempoh PKP iaitu 31 Mac ini.

“Saya percaya, jika orang ramai patuh dengan arahan ini, virus wabak COVID-19 akan berakhir,” katanya.

Katanya, sehingga kini, pihaknya sudah melakukan sebanyak 27 sekatan jalan raya dan jumlahnya dijangka akan bertambah dengan adanya pembabitan daripada pihak tentera.

Menurutnya lagi, kaedah pengawalan yang akan dilakukan sama sebagaimana yang dibuat sebelum ini iaitu menerusi hebahan oleh kereta peronda, sekatan jalan raya dan rondaan di semua kawasan terutama lokasi tumpuan ramai dan kawasan awam.

“Cuma bermula malam ini, pergerakan akan dilakukan secara bersama polis dan tentera,” katanya.

Katanya, kawalan pergerakan akan ditingkatkan membabitkan empat kawasan iaitu daerah, mukim, kampung dan taman di seluruh negeri.

“Rondaan juga akan dibuat di jalan kampung bagi memastikan penduduk di kawasan kampung mematuhi arahan dengan tidak melakukan aktiviti yang dilarang seperti perniagaan kedai makan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan mematuhi perintah berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X