Isnin, 23 March 2020 | 10:39am

COVID-19: Had waktu operasi perniagaan di Alor Setar

ALOR SETAR: Semua premis perniagaan, kedai runcit dan pasar raya di bandaraya ini, diarah mengehadkan tempoh waktu operasi berkuat kuasa hari ini.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad, berkata langkah Majlis Bandaraya Alor Setar (MBSA) itu, bertujuan mengurangkan pergerakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Jelasnya, hanya premis menjual makanan dan minuman, iaitu restoran, warung, medan selera, penjaja kecil, trak makanan dan pandu lalu sahaja dibenarkan beroperasi secara pembungkusan atau penghantaran mulai jam 6 pagi hingga 8 malam.

Beliau berkata, semua pasar raya pula dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam, manakala kedai serbaneka yang menjual makanan dari jam 7 pagi hingga 10 malam.

“Pasar awam dan penjaja menjual barangan basah serta keperluan dapur dibenarkan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 1 petang, manakala pasar borong ikan dan sayur dari jam 2 pagi hingga 7 pagi.

“Selain itu, stesen minyak dan kedai serbanekanya dibenar beroperasi mengikut kelulusan lesen sedia ada tetapi digalak menutup operasi lebih awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zohdi berkata, tempoh waktu operasi 9 pagi hingga 8 malam juga dikenakan kepada kedai runcit, barang keperluan bayi dan keperluan haiwan.

“Bengkel pembaikan kenderaan, kedai alat ganti, tayar dan kedai penyaman udara boleh beroperasi dari jam 9 pagi hingga 8 malam,” katanya

Mohd Zohdi berkata, orang ramai perlu mengikut arahan ditetapkan kerajaan dan hanya keluar membeli barangan keperluan ditetapkan sahaja.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X