Selasa, 24 March 2020 | 10:14am

Sedia RM2.61 juta bantuan asnaf

KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan lebih RM2.61 juta sebagai bantuan kepada 13,091 golongan asnaf yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

MAIPs dalam kenyataan hari ini, memaklumkan asnaf terdiri daripada penerima Bantuan Sara Hidup Berkala dan Bantuan Sara Hidup Bulanan layak menerima bantuan baharu berkenaan.

Katanya, kesemua mereka menerima RM200 yang akan dikreditkan dalam akaun bank masing-masing.

“Selepas perkenan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail yang juga Yang di-Pertua MAIPs, kesemua tersenarai sebagai penerima bantuan itu bakal menerima bantuan mulai hari ini dan esok.

“Bagi penerima Bantuan Sara Hidup Berkala mereka dijadual menerima bantuan pada 26 dan 27 Mac ini,” katanya.

Pemberian melalui akaun bank kepada asnaf adalah bagi mengurangkan pertemuan fizikal yang boleh menyumbang kepada insiden penyebaran wabak pandemik COVID-19.

“MAIPs ingin menasihatkan penerima supaya mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri dengan tidak berkumpul di bank atau mesin pengeluaran wang tunai automatik (ATM) melainkan terdapat keperluan mendesak.

“Diharap sumbangan ini dapat meringankan beban warga asnaf dan semoga golongan yang lebih memerlukan dapat berkongsi manfaat,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X