Selasa, 24 March 2020 | 4:08pm
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - Foto Malai Rosmah Tuah
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - Foto Malai Rosmah Tuah

Kerajaan Sabah umumkan pakej rangsangan, esok

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi untuk rakyat Sabah, esok.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pengumuman pakej rangsangan terbabit akan dilakukan selepas mesyuarat bersama kabinet.

“Selepas mesyuarat kabinet, kerajaan negeri akan umumkan pakej rangsangan ekonomi yang ada. Kita akan memperincikan langkah yang akan diambil dan ia adalah bersifat ‘people-centric’.

“Pendekatan dilakukan dan pastikan bekalan makanan mencukupi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tindakan Keselamatan Negeri bertempat di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah ( PPNS ), di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut memutuskan untuk menghentikan sementara sistem perniagaan tukar barang (barter trade) di Sabah sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan nanti.

“Kerajaan negeri mengambil keputusan ini kerana keadaan ini agak membimbangkan ada pekerja yang datang dari luar yang tidak diketahui tahap kesihatan mereka

“Kita tahu sistem perniagaan membabitkan kapal dari luar seperti Indonesia yang datang untuk bertukar barang di Sabah dan adanya kapal dari Hong Kong yang membawa ikan hidup daripada Sabah,” katanya.

Shafie turut memberitahu media kerajaan negeri telah menghentikan operasi ladang di tiga daerah berikutan adanya pekerja yang mempunyai kontak kes positif COVID-19.

“Kita juga memutuskan untuk menghentikan operasi ladang di Kinabatangan, Lahad Datu dan Tawau bagi menghalang pergerakan pekerja ladang memandangkan ada pekerja ladang di daerah terbabit banyak kontak kes positif COVID-19 daripada kluster tabligh.

Beliau berkata, arahan juga dikeluarkan supaya semua jemaah yang mengikuti Ijtimak Tabligh Dunia Zon Asia di Gowa, Sulawesi Selatan dikuarantin di sebuah pusat kuarantin di Tawau sebelum dibenarkan balik ke kampung masing-masing.

“Sementara itu, rakyat Sabah mengikuti Ijtimak Tabligh Dunia Zon Asia di Gowa, Sulawesi Selatan dikuarantin di sebuah pusat kuarantin di Tawau kerana difahamkan Indonesia setakat ini tidak mempunyai pusat kuarantin.

“Jemaah tabligh akan dikuarantin untuk satu tempoh yang lebih lama bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada wabak COVID-19.

“Kita tidak mahu mereka balik ke kampung masing-masing sekiranya mereka belum disahkan benar-benar sihat.

“Setakat ini, saya difahamkan ada lima jemaah berkenaan sedang dikuarantin dan akan ada sembilan orang lagi bakal tiba di pusat kuarantin terbabit. Namun, kita belum mengetahui berapa sebenarnya jumlah mereka yang hadir ke perhimpunan itu,” katanya.

Berita Harian X