Khamis, 26 March 2020 | 12:14pm
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Zulkifle Ab Rahman.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Zulkifle Ab Rahman.

MAIK tangguh aktiviti masjid hingga tamat PKP

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengarahkan semua surau dan masjid di seluruh negeri menangguhkan aktiviti termasuk solat Jumaat dan berjemaah hingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Timbalan Yang Dipertua, Zulkifle Ab Rahman, berkata semua pihak harus akur dengan perlanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hingga 14 April seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Bagi memantau mana-mana masjid dan surau yang mengadakan solat berjemaah, pihaknya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ketua Jajahan setiap daerah yang sudah melantik pasukan petugas khas bagi melakukan pemantauan selain memberikan nasihat kepada mereka yang ingkar.

“Bagaimanapun, dalam situasi pada ketika ini azan tetap berkumandang di setiap masjid dan surau, tetapi solat berjemaah hanya boleh dilakukan oleh pegawai masjid sahaja iaitu imam tua, imam muda, bilal dan siak selepas mereka melepasi saringan pemeriksaan kesihatan.

“Masyarakat harus mengambil cakna dengan situasi penularan wabak COVID-19 ini yang semakin membimbangkan dan mereka perlu patuh dengar arahan daripada pihak berkuasa demi kebaikan bersama.

“Saya meminta supaya masyarakat di negeri ini bersabar kerana kita tidak meminta keadaan menjadi seperti ini dan untuk sementara waktu, saya mohon dirikanlah solat Jumaat dan fardu di rumah atau tempat masing-masing bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau turut mengharapkan semua pihak dapat bertenang dan bersabar dalam menghadapi situasi yang getir ini. Mudah-mudahan musibah yang menimpa negara berakhir secepat mungkin,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mencadangkan semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah ditangguh hingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan berdasarkan perkembangan semasa peningkatan kes positif COVID-19.

Beliau berkata, cadangan itu selaras Resolusi Dalam Talian Ahli-Ahli Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 20 Mac lalu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X