Khamis, 26 March 2020 | 8:51pm
Mohd Azman Hamid (kiri) dan Sufian Hadi Hasan ( kanan) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada Mohd Hamiazi (tengah) di rumah kediaman warga pekerja asing, dekat sini, petang tadi. Foto Rosman Shamsudin
Mohd Azman Hamid (kiri) dan Sufian Hadi Hasan ( kanan) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada Mohd Hamiazi (tengah) di rumah kediaman warga pekerja asing, dekat sini, petang tadi. Foto Rosman Shamsudin

Terima kasih Malaysia

MUALLIM: Kisah dua pekerja warga asing yang hanya makan ikan sungai dengan sayur demi kelangsungan hidup selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, mendapat perhatian beberapa penduduk di Taman Slim Permata, dekat sini.

Wakil penduduk, Mohd Azman Hamid, 34, dan Sufian Hadi Hasan, 41, mengunjungi rumah yang didiami dua pekerja asing warga Bangladesh iaitu Mohd Hamiazi, 24, dan Mohd Tarmidzi, 23, untuk menyampaikan barangan keperluan asas.

Mohd Azman berkata, mereka simpati setelah membaca kisah mereka berdua yang disiarkan dalam portal BH online hari ini.

Katanya, ketika PKP dilaksanakan bukan hanya rakyat tempatan yang terkesan dengan arahan itu dan mendapat bantuan daripada pelbagai pihak tetapi sebaliknya ada juga warga asing yang turut perlu diberi bantuan.

“Mereka juga manusia seperti kita, perlukan makanan untuk hidup dan sebagai manusia yang berperimanusiaan maka wajarlah kita membantu atas dasar kemanusiaan.

“Pekerja asing banyak membantu membangunkan negara ini terutama dalam industri pembinaan bangunan, jadi apa salahnya terutama ketika PKP kita tampil membantu ketika mereka memerlukan sedikit ihsan kita,” katanya ketika ditemui, dekat sini.

Terdahulu, portal BH online menerbitkan kisah dua pekerja asing warga Bangladesh terpaksa makan sayur dengan ikan sungai yang dijala di Sungai Balun, Slim River untuk kelangsungan hidup semenjak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Mereka berdua yang bekerja sebagai buruh dengan gaji harian, terpaksa berjimat cermat dengan simpanan yang ada sambil mencari hasil semulajadi di sekitar penempatan masing-masing.

Sementara itu, Mohd Hamiazi bersyukur dan berterima kepada penduduk taman perumahan itu yang simpati dengan nasib mereka sepanjang tempoh PKP.

Katanya, sumbangan barangan keperluan asas itu bolehlah dikongsi dengan rakan serumah yang sememangnya sudah beberapa hari teringin makan nasi berlauk ikan sungai bukannya sayur lagi.

“Terima kasih Malaysia, hanya Allah yang dapat membalas budi kamu semua dan bersyukur sebab ada orang yang mendengar kesusahan kami di sini,” katanya sambil menadah tangan tanda syukur ke atas rezeki yang diterima itu.

Berita Harian X