Jumaat, 27 March 2020 | 2:54pm
Keadaan rumah penduduk yang terjejas dalam kejadian ribut di Sungai Besar. - Ihsan pembaca
Keadaan rumah penduduk yang terjejas dalam kejadian ribut di Sungai Besar. - Ihsan pembaca

37 rumah rosak dipukul ribut

SUNGAI BESAR: Hujan lebat berserta angin kencang menyebabkan bumbung lebih 30 rumah di daerah ini diterbangkan ribut, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, tiada mangsa dilaporkan cedera, tetapi beberapa rumah penduduk rosak teruk susulan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata pihaknya menerima beberapa laporan berhubung kejadian itu.

“Antara rumah mangsa terbabit ialah seorang pengawal keselamatan berusia 25 tahun yang menetap di Parit 8 Barat, Sungai Besar.

“Menurut laporan, kediaman mangsa terjejas apabila ribut disusuli angin kencang menerbangkan bumbung bahagian dapur, bilik air dan ruang tamu rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agus Salim berkata, pihaknya turut menerima laporan tiga rumah di Parit 3 1/2, Parit 4 Barat dan Parit 6 Barat di sini, yang turut dibadai ribut.

“Sebahagian bumbung rumah penduduk rosak dan diterbangkan ribut dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan membabitkan lapan rumah penduduk di kawasan Parit 3 1/2 dan Parit 8 Barat di sini

Sementara itu, BH dimaklumkan sebanyak 37 rumah di dua mukim dilaporkan terjejas sehingga jam 9 pagi ini.

Sebanyak 33 rumah di Mukim Panchang Bedena dan empat rumah di Mukim Sabak terjejas susulan kejadian ribut itu.

Berita Harian X