Ahad, 29 March 2020 | 10:38pm
Datuk Sulaiman Md Ali. - Foto STR/Amir Mamat
Datuk Sulaiman Md Ali. - Foto STR/Amir Mamat

PKP: MAIM sedia RM3.6 juta bantu penduduk terjejas

AYER KEROH: Kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sudah memperuntukkan RM3.6 juta bagi membantu penduduk yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali, berkata bantuan kepada golongan asnaf dan bukan asnaf itu membabitkan pelbagai bentuk termasuk wang tunai serta barangan keperluan harian seperti makanan dan peralatan elektrik.

Beliau berkata, menerusi keputusan Mesyuarat Khas Bantuan Agihan COVID-19 baru-baru ini, MAIM bersetuju menyalurkan Bantuan Makanan Bulanan Tambahan sebanyak RM100 untuk seramai 8,640 penerima asnaf fakir, miskin dan muallaf membabitkan jumlah keseluruhan RM864,000.

Turut diagihkan, Bantuan Makanan Kecemasan bagi mereka yang terputus bekalan makanan yang hanya membabitkan golongan berpendapatan rendah B40 dengan kadar minimum RM50 untuk golongan asnaf dan RM100 bagi bukan asnaf.

“Selain itu, pembayaran bagi 14 hari tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tidak dapat bekerja untuk Sukarelawan Pembersihan bagi 289 asnaf fakir, miskin dan muallaf membabitkan jumlah RM75,140 di samping Bantuan Pencegahan dan Rawatan COVID-19 untuk petugas barisan hadapan menerusi sumbangan kipas berdiri, cecair pembasmi kuman, vitamin C bagi petugas, bekalan makanan bermasak bagi di tiga hospital iaitu Hospital Melaka (RM10,000); Hospital Jasin (RM3,500) dan Hospital Alor Gajah (RM3,500).

“MAIM turut menyumbang barangan makanan kering serta bekas meletak makanan di Pusat Kuarintin COVID-19 di Alor Gajah, di sini dengan jumlah RM5,000; bantuan bekalan makanan bermasak bagi petugas barisan hadapan Polis di tiga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah (RM2,000), Jasin (RM2,000) dan Alor Gajah (RM2,000),” katanya dalam kenyataan.

Berita Harian X