X
Selasa, 31 March 2020 | 10:18am
Suasana di bazar Ramadan. Foto fail NSTP
Suasana di bazar Ramadan. Foto fail NSTP

COVID-19: Bazar Ramadan dalam talian di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan mewujudkan bazar Ramadan secara dalam talian bagi membantu peniaga menjual pelbagai juadah berbuka puasa.

Kaedah itu diwujudkan selepas kerajaan negeri membatalkan penganjuran bazar Ramadan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman, berkata kaedah memasarkan pelbagai juadah berbuka puasa secara dalam talian itu akan dipantau Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

Beliau berkata, Pusat Khidmat di 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dilantik sebagai pentadbir kepada bazar Ramadan dalam talian yang diwujudkan kerajaan.

“Penerangan kaedah penggunaan sistem bazar Ramadan dalam talian itu akan dilakukan kepada semua petugas teknologi maklumat (IT) di Pusat Khidmat DUN.

“Kerajaan negeri tidak mengehadkan jumlah bazar Ramadan dalam talian dan kita memberi kebebasan kepada Pusat Khidmat DUN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kota Putera berkata, peniaga yang berminat menyertai bazar Ramadan dalam talian boleh berdaftar untuk menggunakan kemudahan itu melalui sistem yang akan diwujudkan minggu kedua bulan depan.

Beliau berkata, bagi memudahkan peniaga dan pengguna, semua urus niaga dilakukan menerusi e-wallet.

Mengulas inisiatif membantu peniaga yang terjejas teruk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mohd Nurkhuzaini berkata, kerajaan memperuntukkan RM4 juta untuk membantu golongan berkenaan.

Katanya, peruntukan untuk kemudahan peniaga mendapatkan pinjaman tanpa faedah itu disalurkan menerusi Tabung Pemulihan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Peniaga boleh mengemukakan permohonan pinjaman tanpa faedah menerusi tabung dikelolakan YPU,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X