Selasa, 31 March 2020 | 11:19pm

COVID-19: Katil untuk rawat pesakit mencukupi

KOTA KINABALU: Sebanyak 613 katil di enam hospital berpakar di negeri ini disediakan bagi keperluan merawat pesakit COVID-19.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata menerusi jumlah itu, penggunaan katil sudah mencapai 45 peratus dan secara keseluruhannya mencukupi setakat ini.

“Ini termasuk dua pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Secara keseluruhannya, 12 orang pesakit sudah sembuh dan dibenarkan pulang,” katanya pada kenyataan media di Kota Kinabalu.

Menerusi kenyataan sama, Christina berkata masih terdapat 7,549 individu di negeri berkenaan masih berada di bawah pemantauan perintah pengawasan bagi mengelakkan penularan COVID-19, setakat hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, 6,434 kontak rapat sedang menjalani pemerhatian oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Manakala 1,115 kontak rapat sudah menamatkan tempoh kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Semua pemantauan ini dilaksanakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.

“Selain itu, 800 individu kini masih ditempatkan di 25 pusat kuarantin seluruh negeri termasuk dua lokasi baharu iaitu Kokilli Inn Hotel, Sipitang dan Oyo Hotel Lucky Eleven, Kota Kinabalu manakala 28 orang dibenarkan pulang,” katanya.

Sementara itu, Christina menyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menyambut baik sumbangan daripada pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) atas sumbangan bernilai RM1 juta untuk pembelian keperluan peralatan perubatan.

Setakat jam 5 petang tadi, terdapat lima kes positif COVID-19 baharu dicatatkan membabitkan tiga kes di Tawau serta masing-masing satu kes di Sandakan dan Lahad Datu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif wabak terbabit di Sabah adalah 206 kes.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X