Rabu, 1 April 2020 | 6:30pm
Sulaiman menyampaikan sumbangan kepada pengayuh beca sambil diperhatikan Zairi (kiri) di Melaka, hari ini. - NSTP/Amir Mamat
Sulaiman menyampaikan sumbangan kepada pengayuh beca sambil diperhatikan Zairi (kiri) di Melaka, hari ini. - NSTP/Amir Mamat

COVID-19: 373 pengayuh beca terima RM600

MELAKA: Seramai 373 pengayuh beca di negeri ini menerima RM600 secara ‘one off’ menerusi peruntukan Kementerian Kewangan susulan kesan penularan COVID-19.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali, berkata peruntukkan sebanyak RM223,800 diluluskan kementerian terbabit adalah insentif Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri bermula pada 24 Mac lalu dan Tabung Amanah Pelancongan Negeri pada 25 Mac lalu.

“Seramai 80 pengayuh yang berjaya dihubungi mempunyai akaun bank dan penyaluran bayaran melalui dalam talian bermula secara berperingkat pada 27 Mac lalu manakala penyerahan cek kepada 291 lagi bermula hari ini dan esok,” katanya.

Sulaiman berkata demikian selepas menyerahkan cek terbabit di Dewan Auditorium Perbadanan Muzium Melaka di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Zairi Suboh.

Sementara itu, BPP sudah memulakan gerak kerja penyemakan dan pendaftaran penyaluran bayaran di pejabat BPP di Kota Cemerlang, Ayer Keroh pada 26 Mac lalu.

Melaka adalah negeri pertama yang melaksanakan pembayaran insentif kepada golongan pengayuh beca.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X