Rabu, 1 April 2020 | 9:55pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: 7,173 sampel sudah jalani ujian

KOTA KINABALU: Sebanyak 7,173 sampel di negeri ini sudah melalui ujian pengesanan dan pengesahan jangkitan COVID-19.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata 600 ujian sahaja dijalankan semalam dan lima sampel dikesan positif COVID-19 iaitu tiga sampel adalah kes baharu dan dua sampel ulangan.

“Ujian pengesanan dan pengesahan jangkitan wabak ini dilaksanakan melalui teknik rRT-PCR.

“Semua ujian ini bagi seluruh negeri dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu (MKAKK) sejak 8 Februari lalu.

“Bagaimanapun, makmal Hospital Queen Elizabeth (HQE) sudah memulakan perkhidmatan ujian sama bermula 30 Mac lalu,” katanya.

Christina berkata demikian melalui kenyataan media di Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Christina menyatakan masih terdapat 196 pesakit COVID-19, 87 ‘person under investigation (PUI) dan 22 pesakit dengan ‘Severe Acute Respiratory Infection’ (SARI) sedang dirawat di enam hospital pakar seluruh negeri, setakat hari ini manakala bilangan pesakit yang sudah sembuh kekal 12 orang.

“Selain itu, seramai 7,717 individu di negeri ini masih berada di bawah pemantauan perintah pengawasan serta pemerhatian kuarantin di rumah setakat 31 Mac lalu.

“Seramai 6,512 kontak rapat pula sedang menjalani pemerhatian oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Manakala 1,150 kontak rapat sudah menamatkan tempoh kuarantin di rumah selama 14 hari setakat semalam.

“Semua pemantauan ini dilaksanakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988,” katanya.

Beliau berkata, 731 individu kini masih ditempatkan di 25 pusat kuarantin seluruh negeri berbanding 809 orang semalam manakala 66 orang telah dibenarkan pulang hari ini.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memaklumkan terdapat tiga kes baharu positif COVID-19 direkod hari ini di daerah Sandakan, Penampang dan Semporna.

Penambahan angka berkenaan sekaligus mencatatkan 209 kes berkaitan COVID-19, di Sabah.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X