X
Khamis, 2 April 2020 | 5:23pm

Fikir cara pasarkan produk ganti bazar Ramadan

JOHOR BAHRU: Peniaga Bazar Ramadan perlu memikirkan cara memasarkan produk dan jualan mereka, sekiranya tiada bazar Ramadan, tahun ini di negeri ini ekoran wabak COVID-19.

Peniaga makanan, Mohammed Farid Mohammed Fadzil, 29, berkata walaupun sukar, tetapi dia tetap akur dengan segala keputusan.

Katanya, dia hanya memikirkan kaedah pandu lalu bagi pelanggan yang mahu membeli juadah berbuka puasa nanti.

“Saya sudah lapan tahun berniaga di bazar Ramadan dengan menjual makanan seperti nasi ayam, nasi goreng, mee goreng dan rojak asma.

“Biasanya saya akan ambil dua tapak iaitu di bazar Ramadan Setia Tropika dan Bandar Baru Uda.

“Sekiranya diputuskan tiada bazar Ramadan di negeri ini, saya aku, tetapi tahun ini saya sudah boleh memikirkan untuk buat pembelian pandu lalu, dengan mengambil tempahan dan memasak di rumah saya yang terletak di Kampung Melayu”, katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kebiasaannya dalam sehari berniaga di bazar, boleh menjual 40 bungkus nasi ayam dan 4 kilogram mi goreng.

“Mungkin jualan agak berkurangan kalau pandu lalu ini sebab pelanggan tidak boleh melihat juadah yang mereka hendak beli. Mungkin tempahan datang dari pelanggan tetap atau kawan”, katanya.

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menegaskan bazar Ramadan tidak sesuai diadakan di Johor susulan penularan wabak COID-19 ketika ini.

Sultan Ibrahim menerusi akaun rasmi Facebook baginda bertitah, ini adalah disebabkan risiko berlaku kontak rapat adalah amat besar, sekali gus boleh memberi kesan kepada kesihatan masyarakat secara keseluruhan.

Berita Harian X