Jumaat, 3 April 2020 | 3:48pm
Kennedy Chukpai Ugon menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk Murum. FOTO/NSTP
Kennedy Chukpai Ugon menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk Murum. FOTO/NSTP

70 rumah panjang di Murum terima bantuan makanan

BELAGA: Sebanyak 70 buah rumah panjang di kawasan Murum menerima sumbangan bekalan makanan bagi mengurangkan bebanan penduduk susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Rata-rata penduduk di rumah panjang menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan makanan akibat pergerakan yang terhad serta kawasan perkampungan yang terletak jauh di pedalaman.

Sumbangan terbabit disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung dan rumah panjang sejak semalam dan ia kemudiannya diedarkan ke setiap keluarga.

Kennedy berkata, sumbangan yang diberikan berupa beras, gula, garam, kopi, teh serta barangan keperluan harian yang lain.

“Melalui sumbangan yang diberikan ini secara tidak langsung membantu dalam meringankan beban setiap keluarga yang tidak dapat keluar mencari rezeki sama ada ke kebun persendirian atau ladang kelapa sawit tempat mereka bekerja sepanjang tempoh PKP ini dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya hal ini adalah cabaran buat semua orang terutama penduduk di rumah panjang kerana lokasi penempatan yang terletak jauh dari bandar.

Seorang penerima bantuan, Tuai Rumah Lichong, berkata bantuan yang diberikan ini amat bermakna buat setiap keluarga yang mendiami rumah panjang kerana makanan merupakan keperluan mendesak pada masa sekarang.

Hal ini disebabkan pekan berdekatan hanya menjual stok makanan yang agak terhad disebabkan faktor logistik yang turut terjejas akibat COVID-19 ini.

“Bantuan makanan amat diperlukan khususnya buat individu yang bekerja sendiri serta bekerja secara bergaji hari,” jelasnya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X