Sabtu, 4 April 2020 | 11:27am
Jalan Kampung Lambak, terpaksa ditutup untuk semua jenis kenderaan apabila satu daripada lima gerabak tanpa muatan terbabs masuk ke jalan terbabit di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tanjung Malim, dekat sini. - Foto Rosman Shamsudin.
Jalan Kampung Lambak, terpaksa ditutup untuk semua jenis kenderaan apabila satu daripada lima gerabak tanpa muatan terbabs masuk ke jalan terbabit di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tanjung Malim, dekat sini. - Foto Rosman Shamsudin.

6 gerabak tren kargo tergelincir

MUALLIM: Sebuah tren kargo dengan 43 gerabak pelbagai muatan tergelincir di Stesen Kereta Api Tanjung Malim, dekat sini, pagi ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal berkata, dalam insiden itu, enam gerabak terakhir tren itu tergelincir ketika sedang melalui stesen tersebut kira-kira jam 6.55 pagi.

Beliau berkata, tren berkenaan dalam perjalanan ke Ipoh dari Pelabuhan Klang dan membawa pelbagai barangan termasuk tekstil dan peralatan kejuruteraan.

“Insiden kegelinciran itu mengakibatkan satu landasan terhalang.

“Bagaimanapun, perkhidmatan tren penumpang yang masih beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak terjejas ekoran insiden itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

KEADAAN enam gerabak kargo yang tergelincir pagi tadi. Ihsan KTMB
KEADAAN enam gerabak kargo yang tergelincir pagi tadi. Ihsan KTMB

Kamarulzaman berkata, tiada kemalangan nyawa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Semua agensi berkaitan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah dimaklumkan. Siasatan juga dijalankan terhadap pemandu tren dan pembantunya yang terbabit dalam insiden berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, kenyataan itu turut memberitahu, kakitangan KTMB sedang giat menjalankan kerja-kerja pengalihan gerabak ke lokasi yang lebih selamat bagi membolehkan kerja-kerja membaiki landasan dilakukan serta-merta.

Selain itu, ia bagi memastikan operasi tren-tren penumpang tidak terjejas apabila beroperasi sepenuhnya selepas tempoh PKP nanti.

Sementara itu, pengusaha kantin di stesen KTMB lama yang berniaga kira-kira 70 meter daripada tempat kejadian, Abdullah Yahya, 59, berkata ketika kejadian beliau belum membuka kantin lagi.

“Apabila dimaklumkan ada gerabak tergelincir berdekatan kantin membuat saya cemas dan bimbang kerana itulah mata pencarian saya sekeluarga.

“Saya bersyukur kantin saya selamat dan dapat berniaga seperti biasa bagi menampung kehidupan seharian, ” katanya ketika ditemui, di sini.

Berita Harian X