Ahad, 5 April 2020 | 6:29pm
Gambar hiasan: Kegagalan memastikan baki kad Touch ‘N Go mencukupi akan menyebabkan kesesakan di plaza tol. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Gambar hiasan: Kegagalan memastikan baki kad Touch ‘N Go mencukupi akan menyebabkan kesesakan di plaza tol. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pastikan baki Touch 'N Go cukup bila guna Jambatan Pulau Pinang

GEORGETOWN: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan orang ramai memastikan baki kad Touch ‘N Go mencukupi sekiranya perlu memandu di Jambatan Pulau Pinang dari tanah besar.

Ia berikutan sebarang transaksi tambah nilai menerusi Pembantu Khidmat Pelanggan, tidak lagi dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, berkata pelanggan boleh menambah nilai di pusat tambah nilai lain seperti mesin juruwang wang automatik (ATM), kedai serbaneka dan stesen minyak di sekitar Pulau Pinang dan Seberang Prai.

Katanya, kiosk layan diri juga turut disediakan di lokasi terpilih di sepanjang Lebuhraya PLUS.

“PLUS memahami kesukaran sesetengah pemandu bagi membuat tambah nilai di lokasi lain selain plaza tol namun langkah ini perlu dilakukan bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 dalam kalangan pemandu dan kakitangan.

“Dengan memastikan kad Touch ‘n Go sentiasa mempunyai baki yang mencukupi bagi transaksi tol, ia dapat mengelakkan interaksi langsung bersama Pembantu Khidmat Pelanggan dan pada masa sama penjarakan sosial dapat dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sepanjang PKP sebanyak 780 kenderaan dengan baki kad tidak mencukupi, menyebabkan kelewatan terhadap kenderaan berat yang mengangkut barangan ke pulau.

Berita Harian X