X
Isnin, 6 April 2020 | 11:27am

COVID-19: Perak lancar skim AgroPrihatin bantu petani

IPOH: Kerajaan Perak melancarkan Skim Agro Prihatin Negeri Perak (AgroPrihatin) bagi membantu petani yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi skim itu, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) memperuntukkan dana RM1 juta bagi membeli hasil pertanian daripada petani yang berdaftar dengan PPPNP, Jabatan Pertanian negeri dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), terutama sayur-sayuran dan buah-buahan.

Pembelian akan dilakukan secara tunai untuk membantu kecairan modal segera bagi petani.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata skim itu berasaskan kepada kerjasama rakan dan usaha strategik di antara kerajaan negeri melalui PPPNP dengan KLK Berhad, Agroto Business, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Selama dan badan pertubuhan kerajaan (NGO), Central Kitchen.

“Menerusi kerjasama ini, hasil pertanian yang dibeli oleh PPPNP akan dijual terus kepada KLK Berhad dan syarikat perladangan sawit di Perak untuk diagihkan kepada kakitangan mereka yang dianggarkan dalam 10,000 orang.

“Syarikat korporat seperti Agroto Business pula berminat untuk memasarkan hasil pertanian ke pasar raya,” katanya dalam satu kenyataan selepas melancarkan skim berkenaan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PPPNP, berkata bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), hasil pertanian disalurkan kepada Central Kitchen seluruh negeri untuk penyediaan makanan bermasak kepada petugas barisan hadapan mengekang penularan COVID-19.

Beliau berkata, berdasarkan data Jabatan Pertanian dan agensi pertanian negeri, pengeluaran hasil pertanian oleh petani di negeri ini sehingga 14 April lalu, dianggarkan melebihi 13,000 tan.

“Bagaimanapun, dianggarkan sehingga 30 peratus daripada hasil pertanian ini tidak dapat dijual berikutan kurang permintaan daripada pemborong, industri perhotelan dan rangkaian restoran susulan pelaksanaan PKP,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta petani yang terjejas agar berdaftar dengan Jabatan Pertanian negeri, FAMA Perak dan PPPNP untuk memudahkan urusan penyaluran bantuan.

“Semoga inistiatif skim AgroPrihatin akan membantu meringankan beban petani yang terjejas, seterusnya memastikan kelangsungan dan kestabilan bekalan produk pertanian di negeri ini pada masa hadapan,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai skim itu boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang dan Facebook agensi terbabit.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berucap melancarkan Skim Agro Prihatin Negeri Perak (AgroPrihatin) di Ipoh, hari ini. Yang turut kelihatan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Yahanis Yahya. - Foto ihsan Pejabat Menteri Besar Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berucap melancarkan Skim Agro Prihatin Negeri Perak (AgroPrihatin) di Ipoh, hari ini. Yang turut kelihatan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Yahanis Yahya. - Foto ihsan Pejabat Menteri Besar Perak
Berita Harian X