Khamis, 9 April 2020 | 3:17pm
Gambar fail: Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam. - Foto Noorazura Abdul Rahman
Gambar fail: Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Aktiviti sempadan Malaysia-Thailand sepi

BUKIT KAYU HITAM: Lokasi di sempadan Malaysia-Thailand yang sebelum ini diketahui menjadi lorong tikus kepada penyeludup didapati lengang berikutan kawalan keselamatan ketat ketika ini.

Tinjauan BH di dua lokasi iaitu di kawasan pagar sempadan berdekatan Kompleks Bebas Cukai Cergas Jaya dan Padang Golf Black Forest & Country Club, Laka Temin, mendapati tiada kesan kegiatan penyeludupan dilakukan.

Ini berikutan tindakan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Agensi Keselamatan Sempadan (AKSEM) meningkatkan rondaan dan meletakkan anggota di kawasan yang sebelum ini menjadi lokasi penyeludup.

Malah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, pihak polis turut melakukan sekatan jalan raya di semua laluan menuju ke arah pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Malah wartawan sendiri terpaksa melalui tiga sekatan jalan raya dan diperiksa sepanjang perjalanan dari Alor Setar untuk ke kawasan sempadan.

Berikutan kawalan ketat itu, dipercayai kegiatan penyeludupan turut berkurangan apabila sindiket sukar untuk menghampiri sempadan terutama yang menjadi laluan tikus sebelum ini.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohd Ji, berkata keadaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sepanjang tempoh PKP adalah terkawal.

Jelasnya, penutupan semua pintu masuk sempadan yang dikuatkuasakan Thailand sejak 23 Mac lalu, menyebabkan aktiviti rentas sempadan terhenti hingga hari ini.

“Dalam pada itu, penugasan kawalan sempadan Malaysia-Thailand telah dipertingkat supaya tidak terdapat unsur atau aktiviti penyeludupan khususnya pencerobohan pendatang tanpa izin memasuki negara ini.

“Operasi PGA Briged Utara PGA juga dipertingkat dan diperketat sejak PKP dikuatkuasakan di semua laluan yang menjadi lokasi panas atau laluan tikus yang boleh menyumbang kepada peningkatan aktiviti penyeludupan ketum atau pendatang tanpa izin.

Abdul Ghani berkata, ketika ini ada kira-kira 300 pegawai dan anggota PGA bertugas bagi memastikan arahan PKP dikuatkusa semua pihak.

“Kita telah memperketat kawalan penugasan operasi di sempadan termasuk menempatkan anggota di kawasan strategik terutama kawasan Terminal Stesen Kereta Api Padang Besar.

“Kawasan itu diletakkan sebagai antara lokasi panas serta beberapa lagi lokasi yang telah dikenal pasti sebagai laluan penyeludupan,” katanya.

Berita Harian X