Khamis, 9 April 2020 | 5:01pm
Aminuddin (tengah) menyerahkan buah-buahan kepada Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, sebagai gimik sumbangan buah-buahan FAMA kepada pasukan petugas barisan hadapan di Seremban. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil.
Aminuddin (tengah) menyerahkan buah-buahan kepada Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, sebagai gimik sumbangan buah-buahan FAMA kepada pasukan petugas barisan hadapan di Seremban. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil.

Suntik RM100,000 bantu FAMA beli hasil tani

SEREMBAN: Kerajaan negeri meluluskan sumbangan RM100,000 kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri sebagai modal pusingan untuk pembelian hasil pengeluaran ladang daripada petani.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata bantuan itu juga bagi tujuan pembekalan barang makanan keperluan asas seperti hasil pertanian berasaskan sayuran dan buah-buahan kepada pengguna.

Katanya, pihaknya menyedari masyarakat peladang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dan pembelian hasil tani oleh FAMA, mampu melegakan mereka.

“Menerusi peruntukan ini, FAMA akan membuat pembelian terus produk dari ladang dengan harga berpatutuan, sebelum dipasarkan kepada pengguna.

“Ini dapat membantu menyelesaikan isu ketidakbolehpasaran hasil pengeluaran dalam tempoh PKP ini, sekali gus membantu lebih 300 pengeluar utama di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan buah-buahan oleh FAMA kepada Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, FAMA juga akan membantu memasarkan produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang terjejas terutama barangan hampir tamat tempoh.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X