Jumaat, 10 April 2020 | 12:56pm
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (kanan) bersama Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Basri Jasmo (kiri) dan Pengarah FAMA Negeri Sembilan, Asmizal Jaafar (tengah) pada majlis penyerahan buah-buahan di IPD Seremban 2. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (kanan) bersama Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Basri Jasmo (kiri) dan Pengarah FAMA Negeri Sembilan, Asmizal Jaafar (tengah) pada majlis penyerahan buah-buahan di IPD Seremban 2. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil.

FAMA anjur kempen makan buah-buahan tempatan tingkat imuniti badan

SEREMBAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menganjurkan kempen makan buah-buahan tempatan bagi meningkatkan sistem imuniti badan bagi melawan penyakit dan mengelakkan jangkitan.

Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Pengurusan & Korporat), Basri Jasmo, berkata menerusi kempen itu, orang ramai dinasihatkan mengambil sekurang-kurangnya dua sajian buah-buahan tempatan setiap hari.

Katanya, kempen itu dibuat dengan mengambil kira saranan Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, bahawa amalan pemakanan sihat amat penting untuk meningkatkan imuniti tubuh bagi melawan penyakit termasuk COVID-19.

“Dr Sharifa Ezat menggesa pengguna mengambil buah-buahan, sayuran segar dan sumber protein daripada ayam, telur serta ikan kerana mempunyai kandungan vitamin C, A dan D yang tinggi serta diperlukan badan untuk melawan penyakit.

“Kami mengambil kira saranan pakar itu untuk menjayakan kempen ini yang diharap dapat membantu masyarakat kekal sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan buah-buahan oleh FAMA Negeri Sembilan diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun kepada Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini.

Basri berkata, kempen itu juga bertujuan meningkatkan permintaan sekali gus membantu pengusaha menambah pengeluaran buah-buahan tempatan di pasaran.

Beliau berkata, FAMA sudah memperkemaskan konsep jualan dalam talian sejak PKP dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

“Tempahan dan pembelian buah-buahan tempatan menerima sambutan baik apabila bagi tempoh 1 hingga 8 April lalu, FAMA Negeri Sembilan menerima lebih 330 tempahan daripada orang ramai membabitkan nilai hampir RM32,000,” katanya.

Berita Harian X