Sabtu, 11 April 2020 | 7:55am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

KPDNHEP Selangor terima 867 aduan sepanjang tempoh PKP

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menerima 867 aduan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga 9 April.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah, berkata daripada jumlah itu sebanyak 46.83 peratus aduan adalah berkaitan harga barangan yang tinggi, tiada tanda harga dan lain-lain.

“Sepanjang tempoh PKP, pelbagai aduan kita terima bagaimanapun, aduan membabitkan harga seperti harga tinggi, tiada tanda harga paling banyak iaitu 46.83 peratus atau 406 kes daripada 867 kes.

“Aduan lain yang kita terima adalah membabitkan kehabisan bekalan seperti topeng muka, roti serta berkaitan timbangan.

“KPDNHEP Selangor kesal dengan tindakan beberapa peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang keperluan ketika tempoh PKP,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Sementara itu, KPDNHEP Selangor turut menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi melihat serta memantau situasi bekalan makanan dan keperluan pengguna sepanjang tempoh PKP.

“Hasil pemeriksaan yang kita lakukan di sekitar Shah Alam, Klang dan Puchong pada Khamis lalu, mendapati bekalan makanan serta keperluan harian berada dalam keadaan stabil dan mencukupi.

“Bekalan keperluan seperti barangan basah, beras, telur, gula, tepung gandum, minyak masak dan pelbagai barangan keperluan lain adalah mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, pengguna juga tidak lagi membuat pembelian panik kerana menyedari bekalan makanan dan keperluan adalah mencukupi.

Jelasnya, kebanyakan pasaraya juga begitu komited bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan mencukupi untuk pengguna selain inisiatif yang dilakukan bagi memastikan pengguna yang membeli barangan keperluan di pasaraya berada dalam situasi selamat serta terkawal.

Selain itu, Muhamad Zikril mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan dengan tidak munasabah dalam tempoh PKP ini, bagi mengelakkan tindakan diambil di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.

Berita Harian X