Isnin, 13 April 2020 | 4:44pm
JANNAHTUL Firdaus Jailani menyifatkan penangguhan hasrat mengunting rambut sebagai pengorbanan mudah untuk bantu putuskan rantaian COVID-19.
JANNAHTUL Firdaus Jailani menyifatkan penangguhan hasrat mengunting rambut sebagai pengorbanan mudah untuk bantu putuskan rantaian COVID-19.

PKP: Biar rambut panjang, jangan nyawa pendek kerana COVID-19

MELAKA: Penduduk negeri ini rela membiarkan rambut panjang demi menyokong Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jika langkah itu membantu memutuskan rantaian Covid -19 di negeri ini.

Justeru, keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memutuskan kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP disambut baik.

Penduduk Melaka Tengah, Jannahtul Firdaus Jailani, 22, mengakui tidak sabar untuk menggunting rambutnya kerana agak rimas tetapi hasrat itu ditangguhkan kerana PKP demi memastikan perkara tidak diingini bakal berlaku.

“Langkah kerajaan menyambung PKP fasa tiga sehingga 28 April membuktikan wabak ini amat bahaya justeru biarlah rambut panjang, asalkan wabak ini berjaya disekat dengan segera.

“Inilah antara pengorbanan yang perlu dilakukan setiap individu dalam menyokong langkah pembanterasan COVID-19 daripada terus mengganas,” katanya.

Sehubungan itu, dia menyambut baik langkah kerajaan untuk tidak membenarkan kedai gunting rambut beroperasi pada fasa tiga PKP bermula Rabu ini.

Apapun, dia tidak dapat membayangkan suasana kedai gunting rambut sebagai larangan PKP berakhir kelak.

Ia nya bukan sahaja dalam kalangan pekerja awam, swasta, warga emas malah pelajar sekolah rendah dan menengah yang hanya menunggu memendekkan rambut masing-masing.

Hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat Perdana Menteri selepas mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pakar, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengeluarkan senarai tujuh sektor perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi bagi fasa tiga PKP bermula 15 April ini, antaranya kedai gunting rambut dan kedai cermin mata.

Pengumuman itu bagaimanapun menimbulkan perdebatan berikutan kebimbangan orang ramai mengenai kemungkinan wujud kluster baharu jangkitan COVID-19 di Malaysia di premis perniagaan berkenaan.

Semalam, majoriti pengusaha kedai gunting rambut, dilaporkan sanggup menanggung kerugian dengan menutup kedai, berbanding menjalankan operasi dan berdepan risiko penularan jangkitan Covid-19 ketika PKP fasa ketiga berkuat kuasa sehingga 28 April ini

Berita Harian X