Selasa, 14 April 2020 | 7:51am
Majlis Fatwa Negeri Sabah mengumumkan penangguhan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid serta surau berikutan pelanjutan tempoh PKP. - Foto hiasan
Majlis Fatwa Negeri Sabah mengumumkan penangguhan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid serta surau berikutan pelanjutan tempoh PKP. - Foto hiasan

Majlis Fatwa Negeri Sabah lanjutkan penangguhan solat berjemaah di masjid

KOTA KINABALU: Majlis Fatwa Negeri Sabah mengumumkan penangguhan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid serta surau, berikutan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 15 April ini.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, berkata pihaknya mengambil keputusan itu setelah mempertimbangkan semua aspek.

“Selepas mengambil kira asas syarak dan maqasid syariah demi kemaslahatan dan kebaikan umat Islam, Majils Fatwa Negeri Sabah bersetuju memutuskan bahawa arahan penangguhan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid serta surau dilanjutkan tempohnya sehingga 28 April ini.

“Keputusan ini juga akan melibatkan penangguhan solat Jumaat pada 17 April dan 24 April. Ahli kariah wajib solat fardu zohor pada hari Jumaat berkenaan dan solat fardu di rumah atau kediaman masing-masing sepanjang tempoh itu.

“Umat Islam di Sabah dikehendaki merujuk garis panduan yang pernah dikeluarkan sebelum ini iaitu “Irsyad Mengenai Garis Panduan Masjid dan Surau Sepanjang Tempoh Penangguhan Solat Jumaat, Berjemaah dan Aktivitinya“, garis panduan lain yang dikeluarkan oleh pihak berwajib dan saranan serta garis panduan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Dalam kenyataan itu, beliau turut menjelaskan panduan berpuasa bagi pesakit COVID-19.

“Bagi pesakit COVID-19 harus berniat melaksanakan ibadah puasa pada malam hari atau ketika bersahur dan melaksanakan puasa sebagaimana biasa mengikut kadar kemampuan diri masing-masing.

“Pesakit diharuskan berbuka puasa apabila tidak mampu meneruskan ibadat puasa dan diharuskan berbuka atas atas nasihat doktor Muslim yang merawat mereka, sekiranya puasa boleh melambatkan kesembuhan atau akan memudaratkan lagi keadaan pesakit.

“Bagi pesakit kritikal diharuskan untuk tidak berpuasa dan pesakit yang tidak berpuasa hendaklah menghormati bulan Ramadan dengan menjaga adab tertentu.

“Ibadat puasa yang ditinggalkan hendaklah diganti semula setelah mereka sihat mengikut bilangan hari yang ditinggalkan dan perbanyakkan ibadat sunat yang lain,” katanya.

Dalam kenyataan itu, beliau turut menjelaskan panduan solat tarawih sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

“Sembahyang tarawih hukumnya, sunat muakkad (yang sangat dituntut) bagi orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan, sama ada secara berseorangan atau berjemaah.

“Orang Islam dianjurkan mendirikan sembahyang tarawih di rumah masing-masing dan waktu sembahyang tarawih ialah selepas sembahyang fardu Isyak dan sunat ba’diah dua rakaat.

“Bilangan sembahyang tarawih yang paling utama didirikan adalah sebanyak 20 rakaat,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X