Sabtu, 18 April 2020 | 9:36am
 GanuShop akan gantikan bazar Ramadan tahun ini. - Foto fail NSTP
GanuShop akan gantikan bazar Ramadan tahun ini. - Foto fail NSTP

Runner GanuShop wajip jalani saringan kesihatan

KUALA TERENGGANU: Penghantar makanan atau runner GanuShop diwajibkan menjalani saringan kesihatan sebelum dibenar beroperasi sepanjang Ramadan ini.

Mereka yang berminat untuk menjadi runner perlu mengemukakan sijil pengesahan kesihatan ketika membuat pendaftaran melalui aplikasi GanuShop.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata kerajaan negeri hanya membenarkan runner yang mempunyai pengesahan kesihatan untuk beroperasi.

Beliau berkata, seramai 700 runner GanuShop yang akan dilantik untuk membuat penghantaran juadah berbuka puasa.

Katanya, surat kebenaran bergerak hanya akan dikeluarkan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) kepada runner yang memiliki sijil pengesahan kesihatan.

“Hanya runner yang memiliki sijil pengesahan kesihatan akan ditawarkan untuk berkhidmat sebagai penghantar juadah berbuka puasa,” katanya.

GanuShop adalah bazar Ramadan dalam talian yang dibangunkan kerajaan negeri menerusi YPU.

Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian sebagai mengulas saranan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa semua penghantar makanan yang berkhidmat dengan syarikat e-hailing atau dilakukan secara individu perlu menjalani saringan kesihatan sebelum dibenarkan beroperasi pada Ramadan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Selain runner, beliau berkata, peniaga bazar Ramadan dalam talian juga diminta mengemukakan sijil pengesahan kesihatan ketika membuat pendaftaran untuk beroperasi menjual juadah berbuka puasa.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X